PENGGUNAAN sumber lampu yang terang.
Susunan Aniza Zainudin

Pencahayaan antara elemen penting dalam menata hias kediaman dan ia memainkan peranan utama untuk mencipta suasana menenangkan bagi setiap ruang.

Begitu juga apabila setiap kali menjejakkan kaki ke bilik hotel mewah, pasti kita tertarik dengan pencahayaan lampunya hingga mewujudkan rasa tenang. Malah ia juga membuatkan ruang lebih cantik dan eksklusif.

Pemilihan lampu dan pencahayaan merangkumi pelbagai faktor. Antaranya gaya, rekaan moden atau klasik, material digunakan seperti logam, kaca, kristal atau kepelbagaian bentuk bertepatan bagi ruang pilihan.


PILIH lampu bersesuaian dengan tema keseluruhan.

Berikutan antara panduan bagi pemilihan pencahayaan kediaman anda:

1. Sumber lampu utama di ruang utama seharusnya terang. Disarankan anda menggunakan lampu LED dengan voltan bersesuaian demi keselesaan.

2. Bagi lampu candelier, anda perlu mempertimbangkan ketinggian siling sebelum ia digantung, sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan kaki di atas lantai.

3. Bagi ruang meja kerja, letakkan lampu pada sudut yang tepat untuk mengelakkan bayang-bayang di ruang berkenaan.

4. Penggunaan lampu di atas meja sisi bukan saja sebagai dekorasi, bahkan ia bertindak sebagai pencahayaan tambahan ketika membaca.

5. Posisi kedudukan lampu tidur perlu berada pada jarak yang mudah dari katil.

6. Ketika memilih lampu, pastikan ia bertepatan dengan tema keseluruhan reka bentuk rumah dan perabot.

7. Pastikan pencahayaan bilik tidur kanak-kanak terang. Elakkan penggunaan lampu lantai dan berkaca untuk keselamatan.

8. Pastikan kediaman anda mempunyai palam tambahan bagi kegunaan majlis perayaan atau khas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 12:21 AM