Zaitie Satibi

Sambutan Aidilfitri tidak lengkap tanpa dekorasi sempurna ruang kediaman. Lazimnya, kita cenderung memilih perabot dan aksesori moden sama ada produk sudah terbina atau pasang sendiri kerana lebih mudah menghias.

Bagaimanapun, penggunaan produk kraf dilihat mampu menampilkan keistimewaan tersendiri, malah rekaan mengikut peredaran zaman menepati cita rasa pengguna masa kini. Produk kraf juga jika bijak diadun dengan perabot kontemporari menimbulkan impak untuk mengatur ruang kediaman gaya diimpikan.

Produk kraf seperti batik, songket, ukiran kayu, labu sayong dan anyaman manik bukan saja melambangkan identiti masyarakat setempat, malah kehalusan hasil kraf mempunyai nilai tersendiri terutama mereka yang begitu meminati seni kraf.

Peredaran masa membawa seni kraf ke tahap yang lebih membanggakan dan bukan sekadar dijadikan cenderamata. Tidak hairanlah jika ramai yang sanggup berbelanja besar demi memiliki sesuatu produk kraf untuk dijadikan sebagai hiasan rumah.

Bagi membolehkan orang ramai mendapatkan produk kraf untuk hiasan rumah pada musim perayaan ini, Kraftangan Malaysia mengadakan pameran jualan Warna-Warni Aidilfitri 2018 yang mengetengahkan konsep Gaya Kraf Aidilfitri iaitu penggunaan produk kraf tempatan dalam persiapan menyambut hari raya.

SENI kraf menarik digayakan atau dijadikan hiasan.

Selain hiasan dalaman rumah, penganjuran Warna-Warni Aidilfitri kali ke-14 hingga 10 Jun ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, itu turut mengetengahkan pakaian raya, aksesori, peralatan dan kelengkapan juadah raya, kuih-muih tradisional serta hiasan laman.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail berkata, tumpuan pameran kali ini adalah produk kraf daripada hasil usahawan di bawah Program Kraf Kampungku (KKK) seperti produk kraf jahitan, seramik, rotan, tenun, logam, kayu dan batik.

“Pameran ini yang merangkumi dua segmen iaitu aksesori dan hiasan kediaman menawarkan jualan serta perkhidmatan kraf daripada 100 usahawan dengan harga yang masih boleh dianggap berpatutan kerana kualiti bahan yang digunakan.

“Kami juga banyak mengetengahkan produk yang dihasilkan melalui hasil rimba, tekstil dan logam yang difokuskan kepada hiasan dalaman rumah,” katanya.

AKSESORI daripada produk anyaman kelihatan anggun dengan cita rasa moden.

Katanya, tumpuan membabitkan dekorasi daripada produk kraf itu bertujuan menggalakkan masyarakat menggunakan kraf tangan buatan tempatan, di samping menjadikan pameran berkenaan sebagai medium untuk membantu usahawan kraf memperkenalkan produk mereka kepada umum.

“Kami mahu lebih banyak usahawan kraf dalam memasarkan produk mereka terus kepada pengguna dan pengunjung. Selain itu, promosi ini juga bertujuan membangun dan menjana sumber ekonomi kepada usahawan kraf.

“Selain jualan, kami turut mengadakan sesi interaktif seperti menganyam ketupat, permainan rakyat dan pertandingan kad raya. Turut diadakan demonstrasi masakan dan kuih tradisional seperti bahulu dan lemang,” katanya.

SARUNG kusyen, alas sofa, alas meja kelihatan ceria dengan konsep batik.

Ibrahim berkata, Warna-Warni Aidilfitri 2018 juga akan menampilkan produk daripada pereka dalaman yang berkonsepkan Aidilfitri. Pelbagai bidang produk kraf ditonjolkan cara penggunaannya yang sesuai dengan hari raya.

“Kelainan pameran kali ini ia diperagakan dengan mengambil ilham konsep Pasar Nat bagi menggambarkan kemeriahan suasana pasar yang dekat di hati pengunjung.

“Ini juga sebagai simbolik bahawa produk kraf sesuai digunakan di mana saja dan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Hiasan rumah lampu terendak dan bekas minuman daripada labu sayong sesuai diletak di ruang tamu. Alas meja, sarung kusyen dan napkin daripada batik pasti memukau tetamu, manakala produk ukiran kayu membangkitkan mood klasik seperti menyambut perayaan di zaman silam.

HIDANGKAN tetamu bekas air daripada labu sayong, manakala pencahayaan ruang juga daripada lampu terendak labu sayong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 10:20 AM