Nurul Husna Mahmud

Bangunan dikenali sebagai Blue House ilham pereka berjiwa unik dari Klagenfurt, Austria, Peter Kaschnig meraih pelbagai reaksi daripada komuniti setempat di kejiranannya.

Kasching berpandangan penggunaan biru itu sebagai eksperimental sosial yang memberi impak psikologi terhadap kehidupan sekeliling apabila membabitkan satu warna saja.

Namun penggunaan warna biru secara menyeluruh atau dominan bagi sesuatu ruang boleh memberi implikasi berbentuk provokatif atau terlalu ‘garang’ andai padanan warna tidak sesuai digunakan dalam tata hias kediaman.

Bagi Perunding Dalaman A&R Creative Design Anis Syuhada Najib Zamani pula, karakter warna biru itu sendiri disifatkan dominan atau ‘mementingkan diri’ dengan syarat warna lain yang digandingkan bersama tidak terlalu menonjol.


DINDING berlatarkan warna biru-hijau pekat di bilik pameran A&R Creative Design.

Disebabkan itu, sebaik pemilik kediaman menyatakan hasrat memilih tema warna terbabit sebagai latar ruang dalaman, pilihan rona yang sering digandingkan bersama biru selalunya membabitkan ton lebih lembut seperti putih, kuning cair, kelabu mahupun pastel.

“Penggunaan warna biru dalam hiasan dalaman sering diinterpretasikan untuk memberi keharmonian dan menimbulkan ‘mood’ tenang kepada penghuni. Visual diberikan selalunya berelemen terapeutik kerana biru umumnya warna yang dekat dengan alam menerusi tema laut dan langit.


PADANAN warna biru lebih lembut memberi rona mendamaikan.

“Dalam trend ruang dalaman semasa pula, saya mendapati setiap kali berunding atau bertemu pelanggan selalunya permintaan terhadap tema sedemikian apabila lelaki atau suami yang membuat keputusan. Pada mereka warna itu disifatkan lebih universal dan sesuai untuk kediaman keluarga.

“Boleh saya katakan ketika ini untuk pilihan warna biru antara yang popular terutama untuk ruang utama rumah selain kamar tidur,” katanya.

Menyentuh konsep hiasan dalaman yang bersesuaian dengan penggunaan warna terbabit, ujar pereka berusia 30-an ini, biasanya pemilik rumah mahukan gaya moden dan minimalis.


KESAN terapeutik biru yang mendamaikan.

“Warna ini menonjol atau bersifat dominan apabila tidak membenarkan warna tertentu dipadankan dengannya. Jadi pemilihan skema warna yang betul diperlukan supaya ruang dihias atau diubah suai tidak menjadi cacamarba.

“Biasanya dalam konsep minimalis, saya padankan biru dengan putih, kuning langsat, kelabu atau warna bumi. Tapi jika pemilik kediaman mahu tampak elegan dan sedikit sentuhan mewah, biru tertentu boleh dipadankan bersama kuning atau emas.

“Biru juga terdapat lebih 20 jenis ton antara yang popular termasuk biru gelap, biru Tiffany, biru Turki, biru bayi, biru kelasi, firus, biru-hijau pekat dan lain-lain.


BIRU lebih lembut pada ruang yang sempit.

“Untuk ruang yang lebih luas, biru lebih gelap sesuai selain berupaya menonjolkan elemen mewah. Tetapi ia tidak sesuai digunakan pada rumah yang berkeluasan terhad seperti apartmen dan kondominium.

“Jika bercadang menggunakan tema terbabit, rasanya penggunaan aksesori seperti langsir dan permaidani sudah memadai. Biasanya untuk tonjolkan ruang, saya akan guna warna terbabit pada langsir.


PENGGUNAAN warna cerah membantu menaikkan seri ruang.

“Berkenaan pilihan permaidani atau motif sesuai dipadankan pada warna terbabit, saya menggunakan corak moden seperti geometri dan abstrak kerana warna itu sendiri berjiwa muda atau kontemporari. Saya akan mengelak menggunakan motif flora atau kerawang bersama warna terbabit.

“Malah saya lebih suka kekalkan ton warna biru lebih lembut atau putih sebagai latar utama kemudian naikkan penggunaan warna biru pada aksesori perabot, hiasan dan kertas dinding sudut tertentu saja. Seri rumah akan lebih menyerlah apabila digunakan lebih banyak warna cerah pada ruang terbabit.


PILIHAN biru pada kamar tidur.

“Secara peribadi saya sendiri sukakan gaya minimalis atau moden kontemporari kerana ia lebih praktikal. Pada masa sama saya akan merujuk kepada idea ruang dalaman kediaman atau hotel di bandar Eropah seperti London, Paris, Amsterdam dan Sweden,” katanya.

Beliau menasihatkan pemilik rumah supaya membuat perancangan sebelum melakukan kerja dekorasi bagi mengelak pembelian perabot yang tidak sesuai.

“Cadangan saya untuk mereka yang berhasrat membuat dekorasi ruang dalaman sebaik-baiknya teliti bajet selain senaraikan tema atau konsep diinginkan. Kemudian buat ‘layout’ dulu termasuk kerja pengukuran kemudian senaraikan perabot serta hiasan diperlukan, barulah mula membeli,” katanya.


ANIS Syuhada bersama suami, Shahrizal Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 12:06 PM