PENGASAS Carpent Studio, Khalidah Kamil di studionya. FOTO Supian Ahmad
Nurul Husna Mahmud


TIDAK mahu perabot yang dimiliki serupa dengan di kediaman lain dan mempunyai idea sendiri khususnya konsep rekaan tertentu antara faktor ramai mendapatkan khidmat tempahan khas.

Tempahan khas atau ‘custom’ merujuk kepada buatan atau sentuhan peribadi yang sering menekankan aspek pertukangan secara manual berbanding dihasilkan di kilang.

Jadi, tidak hairanlah memiliki perabot tempahan khas kosnya jauh lebih mahal berbanding perabot dipasarkan menerusi gedung jualan atau galeri biasa.


KEMASAN menampilkan kerja pertukangan berkualiti tinggi.

jalinan kayu membentuk corak cantik pada permukaan perabot.

ANTARA rekaan perabot dihasilkan.

Menurut Pengasas Carpent Studio Khalidah Ahmad Kamil, dia memulakan kerja pembuatan perabot kayu untuk permintaan tempatan sejak setahun lalu bermula dengan bengkel dari rumah dan kemudian beralih kepada kilang kecil di Pusat Industri Glenmarie, Shah Alam, Selangor awal tahun ini.

Katanya, ketika ini studionya mampu memenuhi tempahan 20 hingga ke 30 perabot sebulan dengan bantuan empat pekerja iaitu Shafirul Azri Mohd Raffi, Muhammad Amirul Hakimi, Mohamad Hatta Abdul Jalil dan Ahmad Najib Ramlee.

“Biasanya rundingan berkenaan rekaan berdasarkan peruntukan perbelanjaan pemilik kediaman.

“Kayu kami gunakan untuk perabot setakat ini kualiti premium antaranya nyatoh, merbau, dan pain.

“Untuk perincian lain seperti besi dan sebagainya, kami ada rakan kerjasama untuk menghasilkan rekaan mengikut kepada cita rasa masyarakat negara ini.

“Kepuasan juga terletak pada kualiti kerana bukan dihasilkan dalam pengeluaran besar seperti di kilang. Sudah tentu rekaan dan hasilnya lebih halus,” katanya.

Menurutnya, pelbagai jenis perabot dihasilkan termasuk kabinet dapur, meja makan, perincian dinding, katil dan keseluruhan set ruang tidur.

“Paling popular ialah meja makan dan meja kopi serta almari televisyen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:46 AM