Susunan Aniza Zainudin

Bukan sekadar penghubung antara satu ruang ke tingkat seterusnya, fungsi tangga dilihat lebih meluas berdasarkan trend kediaman mahupun pejabat pada masa kini.

Tidak keterlaluan apabila mengkategorikan tangga antara elemen penting bagi struktur bertingkat sebagai kelebihan ketika menghasilkan dekorasi.

Berikut antara pilihan tangga yang memiliki keistimewaan dalam reka bentuk, pemilihan material mahupun sentuhan luar biasa yang mencipta dimensi tatahias sempurna.

StairStalk

Rekaan tangga sentuhan Atmos Studio menjadi tarikan istimewa bagi pengunjung restoran Hide yang beroperasi di Mayfair, London.

Diperbuat daripada kayu oak, StairStalk ini mempunyai bentuk yang luar biasa apabila reka bentuknya seakan-akan menjalar, beralun dan cengkung.

Menjadikan ciri organik sebagai ilham, tangga kayu ini turut memberi kesan bayang cahaya di bahagian bawah restoran hasil daripada bentuknya.

Seperti kayu menjalar, perincian asas tangga ini mengutamakan ciri-ciri bentuk garisan sama ada pada pemegang dan papan tangga sekali gus mewujudkan interaksi ‘semula jadi’ dengan tema restoran berkenaan.


STAIRSTALK ini diperbuat daripada kayu oak mempunyai reka bentuk seakan-akan menjalar, beralun dan cengkung.

Tangga ini dibina menggunakan material keluli dan menjadikan papan lapis sebagai teras membuatkan ia seakan-akan terapung dan bebas daripada ‘ikatan’ pada dinding yang boleh mencacatkan reka bentuknya.

Menariknya, papan tangga ini dihasilkan secara khusus apabila menggunakan ratusan lapisan venir untuk membentuk kontur yang mengekalkan ilusi kayu padat.

Maison du Parc

Maison du Parc atau House Park adalah kediaman tiga tingkat di Kanada terkenal dengan pengubahsuaian dalaman serta rekaan fasad yang dramatik.

Pilihan warna monokrom bagi ruang tangga mewujudkan elemen misteri apabila bahagian pemegang dicat putih manakala tangga pula diberi sentuhan hitam.


TANGGA di kediaman Maison du Parc ini menggunakan warna hitam dan putih bagi mencetuskan ciri misteri.

Tangga berbentuk melengkung ini kelihatan menarik apabila diterangi dengan pencahayaan dari tingkat atas.

Sentuhan pada bahagian dinding kaca di kedua-dua sisi tangga membolehkan cahaya masuk, seterusnya menghasilkan kesan pencahayaan luar biasa dengan kedalaman yang misteri.

Holistic Office

Lingkaran tangga papan lapis diletakkan di tengah-tengah pejabat Holistic Office, Birmingham, England dicipta untuk mencetuskan pergerakan aktif dalam kalangan pekerja di firma berkenaan.

Reka bentuk menarik seakan-akan struktur kerangka besi, tangga putih ini dibina dengan menghubungkan tingkat sedia ada dengan bahagian atas.


TANGGA di Holistic Office ini mempunyai reka bentuk seakan-akan kerangka besi bertujuan mempromosikan gaya hidup aktif dalam kalangan pekerja.

Studio Ben Allen yang menghasilkan ciptaan ini mengakui tangga berkenaan dijadikan pusat utama menghubungkan kerjasama antara pekerja, sekali gus mempromosikan aktiviti fizikal dengan menggunakan struktur berkenaan.

Papan lapis nipis yang membentuk struktur seperti tiang menjadi ‘penapis’ cahaya antara tingkat dan mewujudkan jaringan visual antara dua ruang pejabat berkenaan.

GS1

Tangga konkrit yang melingkar ini dihasilkan secara ‘cacat’ apabila bahagian bawah tangga tidak diberikan kemasan rapi bagi menghasilkan ciptaan estetika asli.

Idea Promontorio ini berjaya mentransformasi imej bangunan pejabat yang dibina sekitar 80-an terletak di Lisbon, Portugal ini kepada firma yang berteknologi tinggi.


TANGGA melingkar di GS1, Lisbon ini mengekalkan nilai estetika tersendiri apabila meminimumkan kemasan.

Menekankan kekemasan bahagian dalaman bangunan dengan penggunaan material semula jadi yang sedia ada, tarikan struktur ini lebih fokus pada pendedahan elemen konkrit tidak sempurna tanpa siling palsu tambahan.

Pendekatan ini berbeza dengan keselesaan serta kehalusan bahan dan kemasan seperti tekstil mahupun permaidani yang menjadi keutamaan tipikal hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 7:00 AM