DEKORASI dalaman rumah milik Risham AB Wahab dan Amelia Mohd Shafer. FOTO Roslin Mat Tahir
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MELIHAT dari luar rumah jenis townhouse ini kelihatan sama seperti kediaman lain. Namun, persepsi berubah sebaik melangkah masuk ke dalam rumah ini.

Bagaikan hilang kata-kata tatkala mata sibuk ‘meneroka’ segenap ruang dek terpegun melihat tatariasnya yang begitu sempurna.

Ringkas tetapi tampak mewah. Dua perkataan itu hadir dalam pemikiran penulis sambil memuji hasil sentuhan kreatif pemilik rumah yang terletak di Shah Alam, Selangor ini.

Dekorasi rumah berkonsepkan Inggeris moden menjadi pilihan pasangan suami isteri Risham Ab Wahab, 34, dan Amelia Mohd Shafer, 40, dalam mengubah penampilan kediaman mereka.

Ternyata mereka bijak dalam membuat pilihan warna bumi yang dipadankan dengan warna lembut lain, sekali gus berjaya menaikkan seri pada ruang selain mewujudkan persekitaran lebih harmoni dan memberi ketenangan kepada penghuninya.

Ditambah pula kedudukan perabot bersesuaian pada ruang tertentu menjadikan hiasan dalaman tampil dengan gaya elegan yang secara langsung mempamerkan cita rasa tersendiri pemiliknya.


PENATAAN ruang makan yang kemas. FOTO Roslin Mat Tahir

KOMBINASI warna hitam dan kemasan di bilik anak perempuan. FOTO Roslin Mat Tahir

Ahli perniagaan yang juga pencinta penataan ruang itu berkata, dia memilih warna bumi seperti kelabu dan coklat pada dinding serta lantai rumah kerana mempunyai unsur sejuk di samping lebih mudah untuk dipadankan dengan warna bersesuaian.

“Jika menggunakan warna bumi semata-mata, ia tidak memberi kesan keceriaan pada ruang rumah.

“Sebab itu saya mencari satu warna sesuai sebagai padanan kerana ia dapat menghidupkan dan memberi nafas baru terhadap ruang itu sendiri,” katanya.

Katanya, dia menonjolkan elemen penting konsep Inggeris moden seperti aksesori cermin, kristal dan perabot berwarna perak dan krom dalam menata rias ‘syurganya’ itu.

“Elemen terbabit memberikan nilai eksklusif yang menjadikan ruang rumah tampil mewah selain kelihatan lebih luas.

“Saya banyak menggunakan hiasan cermin dalam bingkai yang diketengahkan di ruang tamu dan ruang makan hingga membawa ke bilik tidur kerana refleksi elemen hiasan itu menjadikan ruang tampak sekali ganda luas.

“Cermin memberi kekuatan terhadap rumah kerana apabila terkena cahaya akan memantulkan sinaran yang menerangi ruangan kediaman,” katanya.

Amelia berkata, dia juga tidak membiarkan dinding rumahnya kosong begitu saja kerana ia adalah bahagian penting sebagai titik tumpu yang perlu diberikan perhatian.

“Oleh itu, saya membuat hiasan dinding dengan memasang ‘wainscoting’ atau teknik dekorasi menggunakan kayu yang diukir dan ditampal pada dinding sebagai penyeri.

“Hiasan seperti ini umpama ‘gincu’ yang menjadikan dinding kelihatan lebih menarik berbanding dinding polos,” katanya.

Di bilik anak pula, dia menggunakan konsep berbeza dan memilih sentuhan eksklusif dengan pilihan warna hitam, kelabu serta keemasan untuk bilik anak gadisnya.

Manakala bilik anak lelakinya pula Amelia memilih tema laut yang mengetengahkan warna biru dan putih kerana ia lebih ringkas serta bersesuaian dengan usia mereka yang masih bersekolah rendah.

Katanya lagi, untuk mendekorasi rumah tidak semestinya memilih produk hiasan yang mahal, sebaliknya amat penting mengetahui cara menata rias rumah dengan betul selain meletakkan barangan di tempat sepatutnya.

“Bukan bermakna produk yang murah itu tidak cantik. Kita perlukan sedikit kreativiti dan ia sangat membantu untuk menjadikan suasana rumah seperti yang diinginkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 7:00 AM