SENTUHAN rustik.
Susunan Aniza Zainudin

Tasik Austin yang berkeluasan kira-kira 647 hektar di tengah Texas, Amerika Syarikat berfungsi sebagai takungan air, kawalan banjir dan penjanaan kuasa elektrik di Sungai Colorado.

Dulunya dikenali sebagai Tasik McDonalds, kini turut menjadi tumpuan komuniti setempat. Ia antara satu daripada tujuh tasik rantai Highland Lakes yang dicipta Lower Colorado River Authority (LCRA).

Memiliki ciri fizikal yang bertebing tinggi di sepanjang tasik, sekali gus melindungi tiupan angin kuat dan bersesuaian untuk melakukan aktiviti sukan air termasuk memancing.

Menariknya, tasik indah ini turut menjadi tumpuan pemilik hartanah untuk mendirikan rumah bot mewah di sepanjang tebingnya.

Berikut antara rumah bot menarik yang dibina di tebing Tasik Austin:

1. The Bunny Run Boat Dock

Rumah bot yang mengaplikasikan konsep gabungan penguraian semula jadi bersesuaian dengan lokasi ia dibina yang dikelilingi sumber alam semula jadi.

Dihasilkan firma Andersson-Wise Architects, rumah bot papan ini memiliki keluasan 238 meter persegi (bersamaan 2,563 kaki persegi).

Struktur dua tingkat ini dibina mengikut keperluan dan fungsinya yang tersendiri. Di aras bawah, terdapat pelantar dan juga ruang parkir bot berlantaikan kayu.

Bahagian atas pula dilengkapi ruang bar terbuka berdindingkan lapisan kayu dengan kemasan ‘tidak sempurna’ dan bilik istirahat yang menggabungkan elemen kayu dan kaca.


PELBAGAI jenis kayu untuk menghasilkan The Bunny Run Boat Dock.

Dibina di cerun tebing tasik, rumah bot mesra alam ini boleh diakses menerusi tangga batu mahupun titi kayu yang bersesuaian dengan perubahan cuaca di lokasi berkenaan.

Menggunakan beberapa spesies kayu demi eksplorasi pembentukan persekitaran konsisten dengan tasik hutan semula jadi mengikut fungsi setiap bahagian seperti papan sedar (cedar) dan cemara.

Lebih menarik, rumah bot ini turut mendapat sentuhan barangan lama seperti pintu antik dari India dan struktur keluli yang mengalami proses perubahan cuaca.

2. The Lake House

Tarikan Lake House adalah pelantar terjunan terbuka ke dasar Tasik Austin yang dibina di tingkat dua struktur ini.

Memilih rona bumi menerusi penggunaan material kayu gelap, pasukan Andersson-Wise turut menerapkan konsep jendela besar yang boleh dibuka sepenuhnya.

Ciri ini membolehkan penghuni menyelam ke dasar tasik dari pelantar berkenaan.


MEMBOLEHKAN penghuni terjun dari tingkat atas.

Terletak dan dibina di tebing curam menghala ke tasik, konsep jendela itu turut memudahkan aliran masuk udara segar dari tasik.

Kombinasi angin dan air berupaya menghasilkan proses penyejukan semula jadi untuk keseluruhan struktur.

Bahagian bawah rumah bot ini berfungsi sebagai tempat penyimpanan dan parkir bot, manakala di tingkat atas pula menempatkan ruang santai dilengkapi perabot.


ADAPTASI proses penyejukan semula jadi.

3. Shore Vista Boat Dock

Air terjun ciptaan manusia di tebing Tasik Austin menjadi tumpuan utama sekiranya menjejakkan kaki ke rumah bot mewah, Shore Vista Boat Dock.

Struktur berbentuk silinder sentuhan Bercy Chen Studio ini menggunakan material kaca melengkung sebagai pagar koridor di tingkat atas sekali gus menyerlahkan lagi konsep terbuka di persekitaran tasik berkenaan.

Ruang koridor yang tidak berdinding kaca, ia bertindak sebagai ‘saluran’ memudahkan aliran air mengalir ke dalam tasik.


TARIKAN pada air terjun.

Di sebalik keunikan air terjun itu, bahagian bawah rumah bot pula dicipta pelantar kecil bertindak sebagai ruang bermain untuk kanak-kanak.

Bagi menyesuaikan dengan keperluan penghuni, pelantar bawah yang menempatkan ruang penyimpanan bot turut diberi sentuhan santai menerusi gantungan kerusi tenun.

Uniknya, binaan rumah bot ini bukan saja menyajikan ketenangan tasik dan langit nan biru, bahkan pemandangan indah bukit-bukau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:00 AM