SENI bina unik. FOTO AGENSI
Hafiz Ithnin

SENTUHAN seni bina unik yang bijak mengadunkan antara orientasi moden dan alam semula jadi semakin mendapat tempat dalam kalangan arkitek antarabangsa.

Golongan profesional berkenaan melihat kesinambungan dua elemen itu mampu memberi gaya hidup yang baik kepada pemilik kediaman.

Kediaman berkeluasan 1,184 kaki persegi di kawasan pantai dan hutan Ecuador, Amerika Selatan ini antara seni bina yang mampu menarik perhatian bakal pemilik kediaman yang mendambakan kehidupan moden namun tidak menafikan keinginan untuk menatap keindahan alam semula jadi setiap hari.


CERMIN telus yang besar memberi kepuasan kepada pemilik untuk menikmati pemandangan. FOTO AGENSI

Tumpahan ilham bersandarkan tali leher kupu-kupu ternyata memberi kejayaan kepada arkitek kediaman ini, Emilio Lopez untuk menzahirkan sebuah seni bina berbentuk geometri unik.

Kediaman dua tingkat itu yang mengasingkan antara dua bahagian sebenarnya mempunyai rasional tersendiri kepada arkitek itu kerana setiap satu bahagian menawarkan dua panorama berbeza iaitu hutan dan kawasan pantai.

Dalam hal ini jelas menunjukkan, Emilio tidak mahu menafikan pemandangan alam semula jadi yang terdapat di sekeliling kediaman itu perlu dinikmati bakal pemiliknya kerana pengasingan panorama dapat memberi pengalaman berbeza.


RUANG kedua yang menawarkan pemandangan hutan. FOTO AGENSI

Bagi membolehkan bakal pemilik menikmati kedua-dua panorama itu, konsep cermin telus pandang bersaiz besar dipasang pada dinding utama iaitu di bahagian belakang dan depan.

Sekali gus membenarkan pencahayaan semula jadi masuk ke dalam rumah. Pada masa sama menjadikan kayu sebagai bahan asas pembinaan, reka bentuk hiasan luar dan dalam kediaman.

Buluh yang kecil yang dipotong mengikut laras sesuai ditampal di bahagian dalam dinding dengan kemas. Malah arkitek juga sengaja menggunakan kayu untuk kekemasan ruang dalaman yang mampu mewujudkan suhu selesa ketika berada di dalam rumah.


RUANG utama kediaman yang menawarkan pemandangan pantai. FOTO AGENSI

Di bahagian belakang rumah yang menghadap panorama hutan ialah ruang dapur pula turut menggunakan material kayu bukan saja dari segi lantai dan dinding buluh malah kabinet dapur.

Fungsi untuk tempat memasak dan membasuh pula dilihat menggunakan material yang sesuai. Pada sebelah malam, keindahan kediaman itu lebih menyerlah kerana pencahayaan lampu jingga dipasang mampu menonjolkan warna kayu yang dijadikan sebagai bahan utama seni bina dalamannya.

Di samping itu, elemen ringkas pada ruang dalaman juga tampil menarik apabila tidak banyak bermain dengan perabot yang sarat.

Kerusi dan meja berasas kayu ringkas sememangnya unik apabila digabungkan dengan konsep kediaman berteraskan alam itu.


HIASAN dalaman menggunakan dinding buluh. FOTO AGENSI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 10:24 AM