APARTMEN mewah menggunakan perabot berjenama dan palet monokrom.
Zaitie Satibi

BIARPUN digayakan ringkas, apartmen mewah di tengah kota raya Manhattan, Amerika Syarikat ini tetap kelihatan elegan dan menawan.

Kediaman dua bilik di Four Seasons Private Residences itu dihias pereka dalaman New York, Magdalena Keck menggunakan perabot berjenama dan palet monokrom bagi menghasilkan konsep yang minimum.


TEMPAT istirahat dilengkapi kerusi vintaj kayu walnut dengan kusyen hitam.

Magdalena bijak memanipulasi ruangan berkeluasan 1,500 kaki persegi itu dengan menekankan fungsi tingkap besar, siling tinggi, dinding simen dan lantai kayu oak yang bercorak tulang ikan.

Dinding berwarna putih, perabot dengan kemasan monokrom dan cahaya semula jadi yang banyak masuk mewujudkan kombinasi menghasilkan ruangan luas seperti galeri.


FOTO hitam putih petikan lensa jurugambar terkenal penuhi ruangan makan.

Monokrom dipilih untuk membangkitkan ruangan berlatar belakang rona pucat dan ia disokong gabungan reka bentuk kontemporari, vintaj, mewah dan khas.

Tujuan Magdalena adalah untuk menimbulkan rasa kesempurnaan hasil penyatuan pencahayaan, komposisi dan keseimbangan.

Ruangan serambi pula dihias dengan empat reka bentuk utama yang mengatur rentak kediaman. Ini termasuk permaidani berjerumbai daripada Nanimarquina, cermin besar, kaca cermin bercahaya dan meja I-beam merah daripada Magdalena sendiri.

Susun atur perabot dilakukan dengan berhati-hati untuk menyerlahkan kesan galeri, namun setiap perabot boleh diubah kedudukan dari semasa ke semasa. Ruang makan pula dilengkapi meja kayu mapel empat segi daripada pengukir Mark Jupiter manakala kerusinya daripada Egg Collective.


BILIK tidur serba putih wujudkan suasana damai.

Lampu pendan hitam hasil pereka London, Michael Anastassiades digantung tepat di atas meja makan bagi mewujudkan suasana intim manakala dinding ruang makan pula dihiasi foto pantai berbatu dalam bentuk hitam putih daripada jurugambar Robert Andersen. Di sebelahnya pula diletakkan arca geometri hitam daripada artis British, Dominic McHenry.

Ruang tamu turut mendapat sentuhan Magdalena apabila ia dihiasi dua sofa putih rekaan Antonio Citterio for B&B Italia beralaskan karpet mohair putih lembut. Lukisan abstrak daripada pelukis tempatan, Larry Lee Webb menjadi titik tumpuan ruangan besar itu.

Kawasan lounge yang dijadikan tempat istirahat dilengkapi kerusi vintaj kayu walnut dengan kusyen bertenun hitam rekaan Victor Pasmore. Ia dilengkapkan dengan meja kayu rosewood pertengahan abad daripada Wilhelm Renz.


PERABOT berciri monokrom menyatakan konsep minimum pada kediaman mewah.

“Pemilik apartmen adalah seorang pereka dan juga jurugambar dengan cita rasa yang sama seperti saya.

“Sudah tentunya kami mengkaji dulu bagaimana fungsi, bentuk, garisan, ruang negatif dan cahaya mampu mewujudkan keharmonian apabila objek serta material disusun secara bersahaja,” kata Magdalena.

Bilik tidur pula biarpun ringkas namun dipenuhi hasil kerja mereka yang ternama. Katil buatan Itali rekaan Piero Lissoni, lampu daripada Marcel Wanders for Moooi, lampu meja Pisa dan meja rekaan Antonio Gaudi.

Dinding tidak dibiarkan kosong, sebaliknya dihiasi tiga foto Marfa, Texas oleh jurugambar Andersen dan cetakan Donald Judd. Keck turut mengatur rekaannya sendiri iaitu meja sisi katil, meja kaca di bilik tetamu serta kabinet rendah di ruang tamu.


RUANG memasak dengan perabot terbina menjimatkan ruang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 11:15 AM