RUMAH mesra alam menggunakan sistem binaan konkrit pasang siap.
Zaitie Satibi


MENARIK perhatian, mesra alam dan boleh dibina dengan cepat selain menjimatkan adalah matlamat Studio Arthur Casas, sebuah firma dari Brazil ketika membina kediaman menggunakan sistem binaan konkrit pasang siap dan berfleksibiliti tinggi, sekali gus mengelakkan masalah lazim yang wujud dalam projek perumahan konvensional.

Rumah berkeluasan 200 meter persegi di Sao Paulo, Brazil itu dibina dengan kerjasama syarikat pembinaan dan kejuruteraan tempatan SysHaus dan berjaya memenangi anugerah utama dalam pameran bersiri rekaan dan seni bina Casacor yang berlangsung di sekitar Amerika Selatan.

Jurucakap studio berkenaan berkata, rumah SysHaus membawa konsep baru dalam kehidupan kontemporari di mana kecekapan, praktikal dan kemampanan bukan saja ideal, tetapi satu amalan yang berkesan.

Model rumah setingkat itu terdiri satu bilik tidur, dua bilik air, dapur pelan terbuka, ruang makan dan ruang tamu direka serta dibina dalam tempoh enam bulan. Dinding kaca umpama jendela gergasi yang fleksibel memudahkan pengaliran udara sempurna.

Melangkah satu sudut dalaman, kelihatan teres tertutup dengan pendiang api konkrit. Bahagian luar dinding ini turut dilapisi aluminium kitar semula di samping rangka struktur keluli yang boleh diadaptasi.

“Sistem struktur terdiri daripada tiang dan ‘balok’ dengan seksyen yang sama, disambungkan oleh kiub logam berfungsi sebagai nod struktur. Apabila digabungkan, ia boleh menghasilkan konfigurasi berlainan dan memenuhi beberapa keupayaan dalam had sehingga tiga tingkat sama ada di medan yang rata atau licin,” kata jurucakap itu.

Menyediakan tahap fleksibiliti yang tinggi juga membentuk kebimbangan untuk rekaan dalaman. Sehubungan itu, kabinet dan rak yang tidak disokong sebarang struktur dipasang di dapur bermaksud perabot itu boleh diubah pada bila-bila masa. Pembeli juga boleh memilih mana-mana kemasan dan cat diingini.

Malah, rumah dalam versi model pula menunjukkan siling dan dinding dilapisi dengan papan gentian dengan ketumpatan sederhana manakala lantai dilitupi jubin simen.

Kebanyakan dekorasi direka Studio Arthur Casas dengan kerjasama pembuat perabot, daripada meja makan berbentuk kelopak bunga ke kabinet tergantung di ruang tamu. Pasukan studio juga meng­gunakan warna semula jadi untuk keseluruhan bangunan, mewujudkan rasa tenang dan elegan.

Kediaman ekosistemik ini mempunyai ciri-ciri mampan termasuk panel solar fotovoltan, sistem tadahan hujan dan kitar semula serta penghadam bio yang menukar sisa organik kepada gas untuk kegunaan di dapur dan pendiang api. Pembeli turut boleh menambah bumbung hijau yang membantu membekalkan haba dan keselesaan akustik.

Lebih menarik, SysHaus sengaja direka untuk dileng­kapkan dengan teknologi rumah pintar seperti pengunci rumah yang dikawal menggunakan telefon bimbit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:00 AM