KUALA Lumpur Convention Center.
Hartini Mohd Nawi


MENJELANG 2025, antara 60 hingga 85 peratus penduduk dunia dijangka tinggal di kawasan bandar.

Perkembangan itu meletakkan peranan arkitek landskap antara profesion yang penting dan mencabar selari dengan pembangunan di sesebuah negara.

Menurut Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Prof Madya Dr Suhardi Maulan, peranan arkitek landskap juga lebih luas tidak hanya tertumpu kepada pembentukan landskap semata-mata.

“Ia berperanan penting dalam menzahirkan suasana hijau yang selamat bersama pembangunan kepesatan mercu tanda khususnya di Malaysia.

“Dalam konteks ini, infrastruktur hijau antara pendekatan yang digunakan untuk menyelesaikan cabaran pembinaan bandar dan perubahan iklim global supaya selari dengan keharmonian alam semula jadi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Senibina dan Senireka, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, komponen utama pendekatan ini termasuk penyesuaian iklim, mengurangkan tekanan haba, kepelbagaian bio, pengeluaran makanan, kualiti udara lebih baik, pengeluaran tenaga lestari, air bersih dan tanah yang subur, selain peningkatan kualiti hidup melalui rekreasi, memberi naungan dan tempat perlindungan di sekitar bandar atau luar bandar.

Malah infrastruktur hijau juga menyediakan rangka kerja ekologi untuk kesihatan sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Dr Suhardi tidak menafikan penyediaan infrastruktur hijau menjadi akses kepada masyarakat untuk beriadah dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

“Ia sekali gus mampu meningkatkan kesihatan masyarakat secara menyeluruh di kawasan perbandaran khususnya,” katanya.

Malah beliau mengakui landskap adalah terjemahan semua aspek yakni untuk pendidikan, komuniti, memupuk kekeluargaan, kesinambungan bandar, riadah dan persahabatan.

“Ini bermakna peranan arkitek landskap adalah menyeluruh, bermula dengan penyediaan pelan dan laporan perancangan landskap termasuk pelan induk landskap.

“Di samping itu, dia turut menjalankan khidmat penilaian dan kajian landskap dari visual, pentaksiran pokok hingga karakter landskap.

“Begitu juga dengan penyediaan pelan pengurusan dan penyelenggaraan landskap, semuanya tersenarai dalam khidmat arkitek landskap,” katanya yang mengakui peranan arkitek landskap perlu lebih daripada itu supaya pembangunan pesat negara tidak memberi tekanan kepada ruang hijau.

Menurut Dr Suhardi, naratif penceritaan dalam seni bina landskap seharusnya menjadi kekuatan supaya segenap ruang dalaman atau luaran mampu memberikan manfaat sepenuhnya kepada sesiapa yang berada dalam persekitaran itu.

SEJARAH SENI BINA LANDSKAP

Mengimbau sejarah seni bina landskap untuk tempoh sebelum 1800, kebun landskap (kemudian dipanggil seni bina landskap) adalah sebahagian daripada perancangan induk dan reka bentuk taman untuk rumah bangsawan, istana dan harta diraja, kompleks keagamaan serta pusat kerajaan.

Istilah seni bina landskap yang dicipta Gilbert Laing Meason pada 1828 dan John Claudius Loudon (1783-1843) memainkan peranan penting dalam penggunaan istilah itu.

Amalan seni bina landskap kemudiannya tersebar secara meluas. Pada abad ke-19 yang lalu, istilah arkitek landskap mula digunakan pereka landskap profesional hinggalah Institut Federation Landscape Architect (IFLA) ditubuhkan di Cambridge, England pada 1948.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:30 AM