AKTIF mengikuti pameran.
Nurul Husna Mahmud


BAGI pencinta hiasan berasaskan fabrik, istilah tampal cantum bukanlah asing kerana biasanya ia membabitkan perincian seperti tilam, bantal dan terkini aksesori hiasan.

Tampal cantum adalah teknik sulaman tampal bagi menghasilkan perincian ‘timbul’ bagi menonjolkan sesuatu motif hiasan. Tidak hairanlah kerja tangan menggunakan teknik tampal cantum digemari kebanyakan peminat hiasan dalaman rumah.

Menurut Pengasas dan pemilik Anna Patchwork House, Rohana Saadan, dia menggunakan teknik ini dalam pelbagai produk hiasan rumah, daripada seringkas alas cawan sehinggalah kepada permaidani.

KEPALA katil yang menggunakan motif batik.

Katanya yang mula berjinak-jinak mempelajari teknik jahitan kreatif sejak 2000 lagi, hasil tangan pertamanya ialah alas meja jahitan sulaman tampal pada 2009.

“Pada pertengahan tahun yang sama, saya mula menghasilkan selimut dan sambutan diterima amat baik. Jadi saya pelbagaikan motif dan rekaannya,” katanya.

Bagaimanapun, pada 2015, beliau beralih menghasilkan motif atau aksesori pelengkap ruang berasaskan batik lukis dan blok. Ia satu kelainan selain menarik perhatian terutama penggiat industri pelancongan seperti perhotelan dan restoran.

“Namun tidak kurang juga peminat hiasan dalaman gemar kepada motif sedemikian kerana tampak eksklusif dan elegan apabila ditampilkan pada sudut tertentu seperti ruang tamu atau meja makan,” katanya.

Malah Rohana berkata, motif dipelbagaikan mengikut kesesuaian dan konsep ruang ingin digunakan.

MOTIF bunga kelihatan lebih ‘hidup’ dengan teknik ini.

“Jika mereka mahu menghias bilik tidur untuk anak atau bayi, biasanya pilihan motif lebih bercirikan keanak-anakan.

“Tetapi kalau untuk hiasan kusyen, alas sofa atau meja, biasanya mereka memilih flora atau corak bersifat geometri untuk gaya lebih minimalis.

“Antara yang saya gunakan ialah orkid, bunga raya, heliconia dan burung cenderawasih,” katanya.

Jenis material digunakan ialah daripada jenis kapas kerana ia lebih mudah dijaga berbanding material yang menggunakan sutera.

Berkongsi panduan penjagaan produk sulaman tampal, ia sebaik-baiknya dicuci dengan tangan selain tidak dijemur pada

terik mentari secara langsung.

HIASAN dinding menggunakan motif batik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 8:58 AM