BINAAN empat piramid.
BINAAN empat piramid.
Susunan Aniza Zainudin


SKYLI bererti tempat perlindungan di Iceland, adalah pilihan penginapan selesa buat penggemar sukan ekstrem di kawasan pergunungan yang terkenal dengan suhu sejuk melampau. Inovasi rekaan Utopia Arkitekter ini diilhamkan daripada konsep khemah yang dapat menyediakan tempat beristirahat buat pendaki gunung di Iceland.

Kabin konseptual ini dikatakan mampu menahan cuaca sejuk melampau di kawasan pergunungan negara berkenaan dibina daripada keluli dan kayu berlamina. Menitikberatkan keunikan landskap menerusi ciri jendela bersaiz besar, projek pembangunan penginapan lestari ini boleh memuatkan 15 penghuni pada satu-satu masa.

Malah Skyli juga mempunyai ruang tambahan selesa yang berfungsi sebagai dapur, tempat penyimpanan pakaian kering dan barang kecil. Pengasas dan pengarah kreatifnya, Mattias Litstrom berkata, material digunakan perlu memiliki sifat mesra alam namun pada masa sama mampu menahan cuaca melampau.

Meskipun projek ini tidak memenangi pertandingan kabin bagi pengembara beg galas, ia tercalon dalam World Architecture Festival di Berlin, Jerman pada 2017. Reka bentuk seperti empat piramid yang bergabung, ia bertujuan memberi kestabilanpada struktur fasad dan membuatkannya lebih menyerlah dari kejauhan.

Bumbungnya berbentuk seperti khemah diinspirasikan daripada pondok tradisional Iceland manakala warna biru cerah diilhamkan daripada seni bina Reykjavik yang juga ibu kota negara berkenaan.

DICIPTA untuk penggunaan ruang maksimum.
DICIPTA untuk penggunaan ruang maksimum.

Binaan luar menggunakan keluli bersalut dipanggil GreenCoat, ia boleh menahan suhu takat beku dan pendedahan sinaran UV tinggi, sukar terhakis menjadikannya sesuai dengan ketinggian serta cuaca sejuk di kawasan pergunungan. Mempunyai dua pintu masuk di arah utara dan selatan terlindung daripada tiupan angin, pintu ini dicipta dengan cara masuk ke dalam sekali gus membolehkan ia ditutup secara automatik.

Khemah unik ini dibahagi kepada empat ruang termasuk dua untuk berehat dan tidur, dilengkapi katil dua tingkat dan bangku sebagai ruang tidur tambahan. Ruang ketiga pula berfungsi sebagai kawasan menjamu selesa apabila

turut disediakan meja dan kerusi. Ruang keempat pula dikhaskan untuk memasak.

PILIHAN untuk pengembara di kawasan pergunungan Iceland.
PILIHAN untuk pengembara di kawasan pergunungan Iceland.

Menjimatkan ruang yang ada, cangkuk dipasang pada dinding untuk menyangkut barangan dan peralatan dengan lebih kemas. Ruang antara struktur keluli di bahagian luar dan dinding dalaman daripada kayu diwujudkan untuk pengembara menyimpan pakaian basah atau berlumpur dan menyediakan ruang untuk tandas kompos.

Dibina dengan idea mobiliti, reka bentuk bumbung yang tajam juga membolehkan air hujan mengalir ke bawah sebelum terkumpul dalam tangki khas kabin berkenaan. Sumber air itu boleh digunakan sepenuhnya oleh pengembara bagi tujuan mencuci, memasak atau minum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 4:30 AM