SUASANA kampung segar dan menarik sempena sambutan Aidilfitri.
Hafiz Ithnin


APABILA memperkatakan berkenaan Aidilfitri pastinya dikaitkan dengan bait lirik lagu yang menggambarkan kemeriahan sambutannya di desa. Apatah lagi jika sudah merantau ke bandar, pastinya sangat merindui saat untuk pulang ke kampung.

Sudah menjadi kebiasaan rumah di kampung sinonim dengan konsep tradisional iaitu berasaskan kayu dan apabila pulang ke rumah keluarga yang masih tinggal mempunyai kediaman jenis itu, konsep klasik dikekalkan nyata mengimbas nostalgia lama.

Bagaimanapun, zaman semakin berubah dan industri rekaan dalaman juga semakin ke hadapan dengan menawarkan sesuatu yang mampu memberi nafas segar tetapi tidak mengubah maksud atau ciri asasnya.

Melihat kepada perkara itu, syarikat pereka hiasan dalaman Do Eight Studio berkongsi idea untuk menjadikan rumah kampung atau yang berkonsepkan kayu mampu menawarkan suasana segar dan menarik sempena sambutan Aidilfitri ini.


BANTAL kerusi bercorak oasis tropika yang menarik dipadankan dengan sarung kusyen rona polos.

Pengarah Rekaannya, Nur Idayu Ramli berkata, perkara paling utama adalah merancang terlebih dahulu bahagian kediaman yang ingin diberi sentuhan baharu yang bermaksud untuk menjadikannya lebih segar.

Bagi kediaman jenis kayu atau tradisional katanya, tidak perlu diubah dari segi warna dinding atau struktur temboknya kerana identiti atau ciri asli itu penting bagi mengimbau nostalgia klasik yang sinonim dengan perayaan.

“Apabila sudah mengenal pasti bahagian yang ingin mendapat sentuhan baharu seperti ruang tamu, tumpukan terus di bahagian itu terlebih dahulu.

“Perancangan seperti ini penting bagi memastikan kerja dekorasi dapat dijalankan secara strategi dan paling utama dapat membantu perkiraan kos untuk membeli perabot atau barangan hiasan yang baharu,” katanya.

Nur Idayu berkata, anda juga boleh menggabungkan gaya terkini hiasan iaitu berkonsepkan tropika oasis pada ruang itu.

Tropika oasis adalah konsep corak yang menggantikan bunga kepada dedaun. Ia akan lebih menonjol apabila bantal sofa, permaidani, alas meja atau langsir mempunyai corak berkenaan.

“Sekiranya menggunakan konsep ini, rona latar belakang corak perlu polos (kosong) dan tidak begitu terang seperti warna pastel atau putih untuk membantu menonjolkan corak segar dedaun berkenaan.

“Apabila kita masukkan konsep ini di dalam ruang tamu, ia perlu selari dengan elemen tekstil yang terdapat di ruang berkenaan iaitu langsir, alas meja, sarung kusyen dan permaidani,” katanya.

Katanya, erti selari itu bukan terhad menjadikan ruang tamu perlu sedondon menggunakan motif atau corak tekstil yang sama tetapi menjadikannya gabungan harmoni.

Contohnya jika langsir sudah menggunakan tekstil bercorak putih rona dan dedaun hijau segar, pemilik kediaman boleh memilih sarung kusyen daripada rona putih, hijau polos atau bercorak ringkas.


ALMARI menyimpan pinggan lama boleh kelihatan eksklusif juga bijak mengisi barang yang kemas dan tidak terlalu padat di dalamnya.

“Apabila sudah memadankan warna dengan harmoni di ruang tamu membabitkan semua perhiasan utama yang mempunyai tekstil, kini kita beralih kepada pemilihan perhiasan sampingan yang boleh menaikkan lagi kesegaran kediaman berlatarkan warna kayu iaitu memasukkan elemen tanaman hiasan.

“Tanaman hiasan pula jangan kompleks dengan menonjolkan terlalu banyak warna. Cukup pilihan tanaman hiasan seperti Calathea yang mempunyai rimbun daun hijau yang memukau. Jika tidak mahu menggunakan tanaman asli, kita boleh menggantikannya dengan jenis tiruan yang lebih murah,” katanya.

Disebabkan kediaman itu menjadi tempat keluarga berkumpul beramai-ramai, jangan tinggalkan atau simpan elemen yang boleh mengimbau kenangan bersama tetamu.

“Jika terdapat koleksi gambar lama yang sudah kekuningan atau rosak, jangan disorok kerana ia boleh menjadi bahan seni menarik di ruang tamu. Dapatkan bingkai gambar yang segar dan mengikut rona utama tekstil contohnya warna putih atau hijau segar.

“Saiz bingkai gambar juga boleh dipilih dan diatur mengikut kesesuaian. Kepelbagaian saiz dan kreativiti dalam menyusunnya pada dinding bakal menonjolkan hasil seni yang menarik,” katanya.

Nur Idayu berkata, jika terdapat almari menyimpan pinggan lama, elakkan menyusun barang di dalamnya terlalu sarat kerana anda boleh menjadikannya sebagai aksesori yang ringkas tetapi tampak eksklusif.

Penggunaan elemen anyaman bagi menggantikan pasu seramik pula dilihat salah satu langkah bagi mewujudkan aksesori hiasan dalaman yang lebih klasik, dramatik dan mampu harmoni dengan konsep rumah kampung.

Tidak sekadar itu, beliau juga menyarankan di kawasan tumpuan utama tetamu tidak diletakkan terlalu banyak perabot atau hiasan pada lantai kerana pada musim perayaan, keselesaan laluan perlu diambil kira.

“Pada bahagian laluan masuk misalnya, kita jangan letakkan pula pokok hiasan di kiri atau kanan pintu semata-mata ingin menonjolkan ‘keunikan’ sentuhan segar. Padahal ia boleh mengganggu keselesaan tetamu.

“Paling utama, apabila di rumah kampung, setiap sentuhan dekorasi perlu mengambil kira keselesaan, kesegaran, mampu mengimbau memori yang baik dan tidak mengubah keunikan struktur kediaman yang sukar untuk kita temui pada hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 6:00 AM