RUANG pameran kenderaan diubah kepada kediaman berloteng.
KUBUS hitam disusun jadi pemisah dua ruang.
Zaitie Satibi


HASRAT pasangan suami isteri mengubah apartmen seluas 2,250 kaki persegi di Chicago, Amerika Syarikat yang memiliki reka bentuk dikatakan tidak berfungsi sebagai ruang domestik kepada kediaman impian berjaya direalisasikan dengan sentuhan kreatif Vladimir Radutny Architects.

Apartmen dinamakan Michigan Loft itu adalah kediaman yang diubah suai daripada pusat komersial Chicago’s Michigan Avenue dan memiliki siling tinggi dan ruang tamu yang luas. Ia sebenarnya terletak di dalam struktur lama yang dibina untuk dewan pameran automotif.

Disebabkan ubah suai sebelum ini, apartmen itu memiliki dapur yang dicat hitam di ruangan yang lebih tinggi, manakala ruang tamunya kurang teratur dan tiada tempat penyimpanan.

Vladimir Radutny kemudian membuat pengubahsuaian semula, namun masih mengekalkan ruang berkenaan termasuk perincian struktur seperti siling dan tiang konkrit. Siling tinggi memberi kelebihan untuk pembinaan loteng bagi mewujudkan ruang dalam bertingkat.

Studio ini turut menambah beberapa unit terbina dalam untuk menyerikan reka bentuk lama. Antara tambahan itu adalah platform kayu tinggi yang dipasang di tingkat utama, ruang dapur, ruang tamu dan bilik tidur.

Platform kayu di semua ruangan itu memberi susun atur dalam keluasan ruang terbuka dan ia juga mewujudkan ruangan kosong untuk susunan perabot serta latar belakang supaya boleh diletakkan tumbuhan hijau selain koleksi yang dikumpulkan pasangan suami isteri itu.

Keluli hitam berbentuk kiub atau kubus menutup bilik tidur dan turut bertindak sebagai penghalang pandangan antara ruang tamu. Panel yang terbuka pula memberi banyak kegunaannya termasuk tempat untuk meletakkan televisyen.


RUANG pameran kenderaan diubah kepada kediaman berloteng.

Pelbagai sisipan juga bertindak sebagai zon peralihan daripada pintu masuk sehingga ke dapur dan menyembunyikan fungsi sampingan seperti ruang dobi.

“Ruang yang banyak bucu ini dibahagikan kepada tiga dimensi, tetapi dapat disusun atur sebagai rumah yang lengkap biarpun dalam ruangan industri.

“Komponen seni bina bertingkat, ketahanan bahan dan pencahayaan teater mengurangkan penguasaan ruang secara keseluruhan.

“Kabinet putih dan kaunter di dapur memantulkan cahaya semula jadi yang banyak dan berlawanan dengan dinding bata yang terdedah. Warna putih juga digunakan pada almari bilik tidur dan di bilik mandi, di samping penggunaan kayu bagi mewujudkan rasa selesa,” kata jurucakap studio.

Kemas kini lain termasuk reka bentuk tangga baharu dengan anak tangga konkrit di bahagian bawah bersama papan kayu yang dipasang tinggi pada dinding.

Fungsi tingkat atas yang juga loteng sebagai bilik tidur untuk tetamu turut dijadikan ruang kerja. Daripada ruangan ini terdapat satu lagi tangga menuju taman kecil atas bumbung bagi menikmati pemandangan bandar Chicago.

“Dalam menyelesaikan masalah penempatan ruangan ini, kami menghasilkan persekitaran yang bukan saja membangkitkan kesejahteraan mental, malah inspirasi dalaman kepada penghuni,” katanya.

Keunikan tata rias apartmen Michigan Loft diiktiraf menerusi hadiah AIA Small Projects pada tahun ini. Studio seni bina yang diasaskan pada 2008 itu sudah melaksanakan beberapa projek kreatif termasuk ubah suai rumah keluarga dengan hiasan dalaman kayu walnut dan apartmen di menara Mies van der Rohe’s Lake Shore Drive.

Hasil kerja lain seperti beberapa rumah bandar termasuk menukar kilang kepada kediaman studio serta rumah yang digabungkan dengan pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 12:25 PM