WARNA perabot seimbangkan antara gaya industri yang elegan. FOTO: Sumber Google
Nurul Husna Mahmud


BAGI pengunjung yang pernah menginap di Hotel Warehouse pastinya boleh merasai sendiri elemen industri yang dilihat menjadi tema utama dalam penggayaan unik bangunan itu yang asalnya bekas gudang rempah.

Firma reka bentuk Asylum and Zarch Collaboratives menonjolkan perincian seperti kerangka siling yang terdedah, dinding batu putih serta penggunaan perabot abad pertengahan bagi menonjolkan warisan seni bina bangunan itu.

Malah, dalam usaha pemeliharaan bangunan warisan itu, dinding batu bata yang sedia adalah struktur asal selain bumbung asli dan gerbang logam hitam masih terdedah diletakkan sebagai ruang utama lobi hotel berkenaan.

Menurut wakil Asylum Chris Lee, pihaknya menyuntik perspektif kontemporari pada bangunan industri lama itu supaya tidak terus ‘disisihkan’ daripada persekitaran yang moden.

“Tumpuan kami adalah untuk melindungi warisan harta benda, sambil mewujudkan perspektif baharu mengenai istilah ‘perindustrian.’


BANGUNAN bekas gudang rempah disesuaikan dalam persekitaran lebih moden dan mesra.

“Apabila disesuaikan dalam persekitaran yang jauh lebih moden dan mesra, kita berharap bangunan ini juga meraih perhatian masyarakat sekitarnya untuk menghargai elemen seni bina yang ada,” katanya.

Perincian lama seperti kayu hitam dan roda tergantung dari siling ke struktur jentera yang sedia ada diperkemaskan menerusi lampu sorot yang diletakkan di antara struktur industri berkenaan.

Kemasan lain yang menonjolkan sebagai bangunan tinggalan industri ialah tangga hitam dan rusuk meja di pendaftaran masuk hotel berkenaan.

Namun, tidak mahu tampak terlalu ‘keras’ pada sebuah premis penginapan, deretan tiang halus keemasan ditempatkan di bahagian sama, sementara dinding putih di meja penyambut tetamu diletakkan kemasan berbentuk empat segi sama yang turut tertanam lampu hiasan di dalamnya.


HIASAN bilik lebih ringkas.

Ciri- ciri sofisikated pada tatarias dalaman diperlihatkan penggunaan jubin mahupun perabot kayu berwarna gelap. Selebihnya ruang dilengkapi dengan sofa kulit berwarna gelap seperti coklat, hijau dan hitam.

Pada masa sama, pereka terus mencetuskan nilai estetika pada bilik tidur di mana palam siling hitam juga dibiarkan terdedah.

Kemasan neutral pula digunakan termasuk jubin berwarna hitam kelabu yang meliputi dinding dan papan lantai kayu.

Koleksi perabot berbingkai logam digunakan dalam pelbagai susun atur untuk menampung penggunaan kabinet kayu dan marmar pada ruang mencuci, almari serta meja di bilik yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:30 AM