OUTSIDE HOUSE kediaman untuk golongan ingin hidup di luar kebiasaan.
Susunan Aniza Zainudin


MEMENANGI tempat pertama dalam pertandingan Building Voices yang mengiktiraf reka bentuk berkualiti bagi kepulauan tropika pada 2017 membuktikan Outside House memiliki identiti unik.

Outside House adalah buah tangan arkitek Erin Moore, ini terletak di titik tertinggi Pulau Maui, Hawaii, sekali gus menyajikan iklim sejuk.

Erin menyifatkan Outside House kediaman untuk mereka yang ingin ‘lari’ dan hidup di luar daripada kebiasaan.

Keunikan mengenai struktur ini bukan saja fasad rekaannya, bahkan rumah ini turut di bina di pinggir bukit di atas tanah hasil pembentukan lava padu berusia 300 tahun.

Outside House memiliki dua pavilion kecil dengan reka bentuk santai berasaskan prinsip kehidupan harian yang menenangkan manakala struktur pula mengaitkan kolaborasi antara manusia dan tanah.

Dua pavilion ini dibina mengikut fungsinya tersendiri. Bagi pavilion pertama berbentuk segi empat dan berdinding penuh, ia berfungsi sebagai kediaman.

Pavilion terletak di bahagian selatan ini yang dilengkapi dengan katil untuk berehat dan meja kecil bagi tujuan membaca buku serta menghabiskan masa berkualiti.

Bilik tidur kecil ini dibina dengan berorientasikan pemandangan dan menghadap matahari terbit membuka ruang kepada penghuni untuk lebih dekat dengan alam sekitar.

Pencahayaan semula jadi yang singkat itu membuatkan suasana dalam kabin ini lebih nyaman, apabila digabungkan bersama suhu sejuk di puncak tertinggi pulau berkenaan.

Rumah kecil dibina menggunakan kayu disaluti polikarbonat ini mempunyai rangka binaan yang asas, sekali gus memudahkan proses pengaliran udara.


KABIN tidur yang ringkas.

Asas lantai kabin ini juga dinaikkan daripada tanah lava menggunakan empat blok konkrit bagi meminimumkan impak kerosakan struktur di tapak berkenaan.

Konsep berbeza bagi pavilion kedua yang direka secara terbuka tanpa dinding membolehkan penghuni menikmati keindahan Laut Pasifik dan kepulauan Kahoolawe secara menyeluruh.

Astaka yang berfungsi sebagai dapur, teres dan bilik mandi ini dibina menggunakan keluli tergalvani bersama kayu menjadi asas utama.

Menurut arkiteknya, cabaran utama membina Outside House ini terletak pada usaha memelihara tanah antara dua pavilion mengikut permintaan peribadi pemiliknya yang menyifatkan wujud nilai sentimental dengan lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 5:30 AM