RAK taman dan tanaman boleh tambah seri taman landskap anda
Oleh Helmy Abd Rahman

BAYANGKAN laman impian anda... mungkin ternampak taman yang segar dengan bunga-bungaan mekar atau tempat menenangkan yang boleh membawa anda ke dimensi lain. Atau mungkin juga anda berimaginasi untuk menikmati alam semula jadi bersama keluarga dan rakan taulan.

Biar apapun gambaran dalam kepala anda, satu hakikat yang perlu diketahui ialah laman landskap impian tidak semestinya memerlukan belanja mahal. Antara caranya boleh diikuti dalam senarai berikut:

1. Tanam rumput segar, sihat dan cantik

Mungkin sukar untuk merealisasikannya 100 peratus, tapi jika dapat sentiasa membersihkan rumput di laman landskap anda sudah cukup bagus. Gunakan juga baja organik yang bukan sahaja dapat menyuburkan rumput, tetapi selamat untuk kanak-kanak dan haiwan peliharaan.

2. Tanam tumbuhan secara berpasangan

Pilih tumbuhan yang kelihatan sesuai ditanam bersama. Ia bukan sahaja menyegarkan pandangan, tetapi mampu membuat tumbuhan anda kelihatan lebih berseri.


TAMAN dipenuhi tumbuhan pelbagai fungsi.

3. Tambahkan rak taman tinggi

Rak taman dan tanaman boleh menambah seri taman dan berfungsi sebagai titik tumpu landskap anda. Rak taman juga sedikit sebanyak menyukarkan serangga perosak daripada menyerang tanaman anda.

4. Campurkan tanaman anda

Untuk kesan kontra dramatik, pasangkan tumbuhan dengan benda tidak bernyawa contohnya laluan jalan kaki daripada batu atau batu sungai dalam laman anda untuk mencipta landskap bertekstur. Atau boleh juga campurkan tanaman mempunyai warna kontra berdekatan antara satu sama lain.

5. Cari tumbuhan yang mempunyai pelbagai fungsi

Pilih tumbuhan pelbagai fungsi ketika merancang membina landskap anda. Landskap tidak semestinya hanya bertumpu kepada keindahan atau nilai estetika. Ia juga boleh digabungkan dengan tumbuhan pelbagai guna contohnya bunga kertas dengan pokok limau purut, pandan dan tongkat ali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:20 AM