CAMPURAN vanila mampu hilangkan bau kurang enak.
Oleh Zaitie Satibi


MENGECAT rumah boleh menjadi perkara yang melecehkan. Ini kerana titisan cat boleh mengotori ruangan rumah selain agak degil untuk dihilangkan.

Bagi membolehkan kerja mengecat menjadi mudah, ada beberapa panduan yang boleh diikuti supaya proses mengecat berjalan lancar. Malah, hasil kerja mengecat anda juga memuaskan.

1. Hilangkan bau cat dengan ekstrak vanila

Bagi mengatasi bau kurang enak itu, masukkan dua sudu ekstrak vanila ke dalam cat. Ekstrak vanila akan membuat bau cat lebih sedap dan memudahkan anda melakukan proses mengecat.

2. Cegah cat menitis dengan pita pelekat

Tampal pita pelekat pada muka tin. Apabila anda mengeluarkan berus daripada tin cat, ‘seka’ cat yang berlebihan pada pita pelekat itu. Cat yang berlebihan akan masuk semula ke dalam tin cat. Malah cat pada berus juga tidak menitis dan mengotori lantai.

3. Lapik bekas penggelek cat

Bagi mengelakkan anda tidak menghabiskan waktu berjam-jam untuk membersihkan baki cat pada bekas penggelek cat, lapik bekas itu dengan kepingan aluminium. Selesai mengecat, bungkus saja kepingan aluminium itu sebelum dibuang dan bekas penggelek cat akan tetap bersih.

4. Tutup tin cat dengan plastik

Bagi cat yang masih berbaki dalam tin, anda mungkin sayang untuk membuangnya. Lapik muka tin cat dengan plastik ketat-ketat sebelum ditutup dengan penutup tin. Ini berguna supaya cat tidak kering dan mudah dibuka saat akan digunakan kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:10 AM