RUANG tampil lebih privasi menerusi rak bertutup penuh di bahagian belakangnya.
Oleh Nurul Husna Mahmud


TREND kediaman seperti pejabat kecil rumah kecil (SOHO) dan unit studio biasanya popular dengan ruang terbuka selain siling lebih tinggi sesuai gaya hidup pemilik masa kini.

Meskipun pemandangan seni bina terbuka tampak cantik, dalam sesuatu keadaan ia dikatakan kurang selesa kerana tiada ruang membezakan antara sudut peribadi atau ruang boleh dikongsi.

Antara konflik biasa timbul dalam susun atur ruang sebegini ialah cara atau kaedah terbaik untuk meletakkan sempadan atau pemisah bagi kediaman jenis ini. Apatah lagi membabitkan ruang beradu dan bahagian rumah lain seperti dapur dan makan.

Dekotaman kali ini berkongsi idea mewujudkan pemisah ruang dengan gaya ringkas menerusi kriteria berikut:

1. Rekaan rak buku

Lagi besar rak buku diketengahkan, bermakna lagi besar ruang dipisahkan dan ia boleh memberi ‘rupa’ ketara antara ruang tidur dan ruang makan.

Rekaan disarankan selalunya tahap ketinggian sehingga menyentuh siling atau sisinya dirapatkan ke dinding bagi membentuk sempadan jelas.

Pada masa sama, pastikan rekaan juga diketengahkan bersama warna sekata dengan warna latar atau tema bersesuaian. Selain diselarikan dengan perincian lantai dan siling supaya rak buku itu membuatkan ia tidak ketara seperti sebuah perabot.


RAK buku membantu membentuk bilik tidur yang lebih peribadi.

2. Mengikut fungsi atau peranan rak

Rak datang dalam rekaan ringkas lebih baik kerana ia tidak terlalu menonjol sebagai sebuah perabot. Biasanya akan kelihatan sebahagian daripada struktur dalam rumah.

Rak berkenaan perlu dipilih mengikut kesesuaian iaitu kedudukan ingin diletakkan sama ada di ruang bahagian dapur, meja makan atau antara ruang makan dan bilik tidur.

Ada sesetengah rekaan rak didatangkan bersama roda boleh laras dan dikunci memudahkan penghuni melakukan susun atur dalam ruang rumah apabila mereka bosan dengan susun atur perabot atau hiasan dalaman rumah.

Selain hanya buku, rak berkenaan boleh diletakkan hiasan lain seperti tembikar dan seramik untuk menceriakan suasana.

3. Perincian pada rak

Reka bentuk rak buku yang unik mampu mencipta kelainan pada penataan ruang kediaman anda.

Anda yang gemarkan pencahayaan penuh pasti tidak kisah dengan kehadiran rak buku jenis terbuka. Sesekali dapat memantau aktiviti di ruang dapur.

Berbanding rak buku tertutup pula, ia dilihat lebih menjamin privasi pada ruang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:15 AM