KOLEKSI rekaan perabot di luarkebiasaan sasar golongan muda.
Oleh Nurul Husna Mahmud


KOLEKSI edisi terhad MARKERAD sentuhan pereka tersohor Virgil Abloh menampilkan sisi berbeza pada setiap rekaan perabot dan aksesori dekorasi IKEA.

Bijak bermain dengan visual kontemporari, rekaan koleksi ini menyasarkan penerimaan dalam kalangan pemilik kediaman generasi ‘millennial’ atau Gen Y dan bukanlah perabot yang ‘biasa-biasa.’ Sebaliknya luar daripada kebiasaan imej atau tema perabot mahupun aksesori rumah yang tipikal dan selamat.

Asasnya membabitkan reka bentuk minimalis klasik dengan beberapa nilai tambah daripada pandangan artistik.

Hasilnya rekaan ditampilkan pada koleksi MARKERAD ini datang dengan pakej ‘ironi’ di sebalik unsur humor yang diterapkan pada gaya atau perincian produk.

Antaranya rekaan kerusi MARKERAD yang mengekalkan elemen klasik iaitu kerusi kayu dengan potongan kaki bulat, tetapi pada salah satu kaki berkenaan terdapat perincian seakan-akan penyendal pintu.

Ketua Kreatif IKEA Hendrik, menyifatkan kolaborasi unik pihaknya bersama artis fesyen jalanan itu dalam meraikan kepelbagaian selain refleksi tulus IKEA terhadap keterbukaan dalam rekaan perabot dan aksesori dekorasi.

“Apabila melihat golongan ‘millennial’, mereka menolak cara hidup yang ‘normal.’ Dari memisahkan apartmen ke ruang yang berbeza seperti ruang tamu, bilik tidur dan bilik kerja seperti kebiasaan, mereka lebih cenderung melakukan semua aktiviti berlaku dalam satu ruang saja.

“Sekali gus mencabar idea keseluruhan fungsi atau rekaan rumah. Itu adalah sesuatu yang kita mahu teroka agar mewujudkan ruang selesa untuk kediaman mereka. Hasilnya ialah MARKERAD sesuatu koleksi yang berbeza,” katanya.

Sementara itu Virgil melihat semangat generasi masa kini sebagai inspirasi dalam setiap penyelesaian rekaan berkenaan.

“Koleksi MARKERAD bukan saja membabitkan elemen estetika selain memberi nilai tambah kepada produk berkenaan.

“Seperti karya digantung pada dinding, begitu juga saya mahukan kelainan pada perabot seperti meja atau permaidani yang dihasilkan dalam koleksi berkenaan,” katanya.

Mereka yang menantikan koleksi unik ini kini boleh mengunjungi IKEA Damansara, IKEA Cheras and IKEA Batu Kawan.

Lebih istimewa untuk koleksi MARKERAD ini, setiap orang dibenarkan membeli dua unit setiap produk MARKERAD, kecuali kerusi MARKERAD yang hanya terhad kepada empat unit bagi setiap orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 5:10 AM