BUNGA tahi ayam


LANTARA Camara, nama saintifik pokok bunga tahi ayam sememangnya popular sebagai tanaman hiasan terutama menghiasi pagar kediaman kerana warna indah menyerlahkan landskap.

Tergolong sebagai spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga Verbenaceae, pokok bunga tahi ayam memiliki struktur dan bunga yang menarik cuma baunya tidak begitu menyenangkan.

Meskipun begitu, bau busuk ini sebenarnya memberi kelebihan kepadanya apabila menghalang kedatangan serangga perosak mahupun penyakit serius.

Atas faktor bau ini juga, pokok ini turut digunakan sebagai tanaman perangkap bagi hama sebagai habitatnya kerana serangga ini gemar dengan warna terang bunga tahi ayam.

Bagi membunuh serangga perosak itu, pokok bunga tahi ayam akan disembur dengan racun serangga perosak.

Pokok renek yang mempunyai daun dan batang berbulu ini mampu mencapai ketinggian antara tiga hingga lima kaki.

Ia dipercayai mempunyai lebih 100 spesies di seluruh dunia dengan pelbagai bentuk dan warna yang variasi.

Di Malaysia, selalunya pokok bunga ini lebih popular dengan warna jingga yang terang, namun ia mempunyai warna lain seperti kuning, putih, merah, ungu, merah jambu mahupun kombinasi pelbagai rona.

Warna bunga ini berubah secara berperingkat bermula dengan putih kepada kuning, jingga kepada merah dan ia berlaku kerana faktor iklim satu-satu tempat.

Tidak terlalu rumit menjaganya, pokok bunga tahi ayam ini tidak memerlukan sumber air banyak dan memiliki ketahanan terhadap suhu melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:10 AM