BAHAGIAN hadapan rumah menggunakan kayu cengal.
Muhamaad Razis Ismail

SIAPA sangka di tengah bandar Kota Bharu, Kelantan terdapat rumah yang masih mengekalkan seni bina Melayu tradisional.

Biarpun terletak empat kilometer dari bandar, tidak ramai yang mengetahui kewujudan rumah yang dinamakan Rumah Singgora.

Lokasinya di Kampung Air Deras, Pasir Hor namun kedudukan yang sedikit ‘tersorok’ sehingga gagal dikesan aplikasi Waze dan Google Maps.

Sebaik melangkah masuk pintu gerbang kayu, penulis terus terpegun melihat keindahan seni bina rumah itu bagaikan berada di sebuah perkampungan lama.

Menggunakan kayu cengal lama dan atap singgora, ia pastinya memukau pandangan sesiapa saja. Apatah lagi hanya 10 meter dari Sungai Lubok Mulong.

BAHAGIAN bawah rumah dijadikan ruang berehat dan bacaan.

Sebuah telaga berusia 100 tahun dan perahu menjadi elemen tambahan.

Pemiliknya, Mohamad Salleh, 44, mengakui minat mendalam terhadap seni bina rumah tradisional memberi ilham kepadanya untuk merealisasikan kediaman unik itu di atas tanah seluas 700 kaki persegi.

“Saya beli tanah ini pada 2005 dan mula mengumpul kayu cengal dari 12 rumah lama yang ingin diruntuhkan. Pada masa sama saya lakukan kajian mengenai rumah Melayu lama dan membuat sendiri pelan rumah ini.

“Pada 2015, projek pembinaan rumah dijalankan dengan gabungan seni bina Kelantan dan Terengganu sebelum siap dua tahun kemudian,” katanya yang juga jurutera awam.

Menurutnya, tujuan utama memilih konsep Melayu tradisional untuk mencipta suasana kampung biarpun berada di kawasan bandar.

“Seni bina orang dulu-dulu, mereka mengambil kira faktor alam sebelum membina rumah.

“Sama juga dengan rumah ini yang berlantai dan berdindingkan kayu selain mempunyai ‘sisip’ angin dibina bagi memudahkan pengaliran udara serta pencahayaan semula jadi.

“Rumah ini sengaja dibina tinggi sehingga dua meter supaya pelbagai aktiviti dapat dijalankan di bawah rumah sama seperti masyarakat dulu,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, persekitaran rumah berkenaan turut dipenuhi pelbagai jenis pokok untuk menimbulkan rasa tenang.

“Saya tanam pelbagai pokok herba termasuk halia, kunyit dan limau purut yang boleh digunakan dalam masakan. Pada masa sama saya tanam pokok kemboja, kemuning dan pandan yang sesekali membangkitkan aroma wangi,” katanya.

Bapa kepada tujuh anak itu mengakui keunikan menjadi tarikan kepada penduduk di dalam dan luar negara untuk datang melihat sendiri kediamannya itu.

“Saya turut menyediakan inap desa konsep rumah tradisional berhampiran rumah untuk memberi pengalaman kepada pengunjung merasai suasana zaman silam.

“Pada masa sama, ramai yang datang ke sini untuk mengambil gambar dan membuat penggambaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 6:05 AM