RONA putih menampakkan kawasan dapur yang lebih luas dan lapang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RONA putih menjadi pilihan pasangan Rozie Rozaini Haron, 47 dan suami, Azman Abdul Abdul Aziz, 48, sebagai asas dalam dekorasi ala moden keseluruhan ruang kediaman mereka yang terletak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Meskipun dianggap mudah kotor namun bagi Rozie, warna putih bukan sahaja menampakkan ruang lebih luas, malah selesa dan menyejukkan mata yang memandang.

Akauntan di sebuah firma guaman itu berkata, kediaman jenis semi-d dua tingkat itu baharu sahaja didiami dua tahun lalu dan semua urusan renovasi dalaman diuruskan suaminya dan pereka hiasan dalaman.

Begitupun, idea dekorasi adalah hasil perbincangan Rozie dan suaminya termasuk dalam menentukan warna asas serta tema.

“Bagi ruang tamu, konsep yang dipilih adalah moden kontemporari dan elemen yang diutamakan adalah keselesaan untuk seisi keluarga.

DEKORASI selesa untuk bilik tidur.

“Untuk itu, kami tidak meletak terlalu banyak perabot cukuplah sekadar sofa, meja kopi, lampu hiasan dan hiasan cermin kaca sahaja.

“Warna dinding pula sememangnya putih dan bagi menyerlahkan lagi suasana tenang, lampu rona ‘off white’ menjadi pilihan,” katanya.

RUANG makan yang selesa.

Menurut Rozie, rona putih turut menjadi pilihan untuk melatari dekorasi bilik tidur utama di kediaman berkenaan.

Namun katanya, bagi memberi sedikit kelainan, suaminya turut memasang kertas dinding dengan corak abstrak yang minima.

GAYA ringkas namun masih menyerlahkan gaya moden

“Seperti ruang tamu, kami juga mahu dekorasi yang selesa untuk bilik tidur justeru, saya dan suami sepakat untuk meminimakan penggunaan perabot,” katanya.

Rozie berkata, sebagai isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan berusia 23 tahun, ruang dapur menjadi kawasan kegemarannya .

Jadi, ruang memasak dan meja makan keluarga turut menjadi tumpuan dia serta suaminya dalam proses dekorasi.

DEKORASI bahagian luar rumah Rozie.

“Seperti mana ruang lain, dinding, kabinet dapur dan permukaan meja kerja atau table top juga berwarna putih.

“Kami turut memilih jubin marmar putih bagi menampakkan ruang yang lebih lapang dan lebih luas.

“Selain itu, suami turut membina pulau di bahagian dapur dan ia juga warna senada dengan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia tidak risau pemilihan rona putih berkenaan cepat kotor dan sukar untuk menjaganya, Rozie berkata, warna itu sebenarnya turut membantunya dalam membersihkan rumah.

Ini kerana, jika pada warna gelap seperti hitam katanya, sebarang kekotoran sukar untuk dikesan dan dilihat.

“Jika putih, kita senang nampak dan pasti akan segera bersihkannya. Apapun, pokok pangkal, terpulang pada diri kita sendiri sama ada rajin atau tidak untuk membersihkan selepas memasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:00 AM