BILIK yang menarik mampu menjadikan USM sebagai
BILIK yang menarik mampu menjadikan USM sebagai
Hafiz Ithnin


TERKENAL sebagai sebuah universiti awam yang mengangkat agenda kelestarian lebih sedekad lalu, nama Universiti Sains Malaysia (USM) bukan lagi asing untuk mewujudkan atau membangunkan sesuatu di luar kotak yang memberi manfaat institusi pendidikan di negara ini.

Tidak hanya membincangkan topik itu yang akhirnya dilihat sebagai satu bentuk teori sahaja, namun ia juga dizahirkan di dalam sistem pengurusan kewangannya bagi membantu pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat kemudahan bilik asrama pelajar serba moden.

Perkara itu sebenarnya yang tersurat di sebalik kemunculan imej bilik pelajar baharu USM yang menggemparkan dunia laporan pemberitaan di media sosial institusi pendidikan tinggi global dengan meraih 305,800 pembabitan interaksi media sosial pada minggu pertama September 2019.

Tidak mustahil dengan pencapaian itu, memandangkan konsep hiasan dalaman bilik contoh yang disiarkan universiti berkenaan amat memukau khalayak kerana tidak kelihatan seperti kelazimannya.

Idea untuk melahirkan konsep rekaan itu sebenarnya tercetus daripada Timbalan Naib Canselor USM (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Aldrin Abdullah yang melihat konsep bilik asrama segar dan menarik mampu menarik perhatian pelajar terutama dari luar negara untuk memilih sesebuah universiti bagi melanjutkan pengajian.

PERMAINAN warna dan padanan perabot di bilik pelajar yang lebih tampak santai.
PERMAINAN warna dan padanan perabot di bilik pelajar yang lebih tampak santai.

Beliau berkata, mengangkat tema kontemporari sebagai tema menata hias bilik berkenaan, ketika ini USM dalam proses melaksanakan projek pengubahsuaian membabitkan 228 bilik merangkumi tiga asrama atau desasiswa yang dikenali sebagai Desasiswa Harapan (80 unit), Desasiswa Tekun (80 bilik) dan Desasiswa Saujana (68 bilik) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang September tahun ini.

“Kita melihat faktor kemudahan penginapan antara yang menjadi tarikan pelajar untuk melanjutkan pengajian di mana-mana universiti dan ada juga yang tidak mahu tinggal di dalam kampus kerana perkara itu.

KONSEP kelestarian pengurusan kos pengubahsuaian memberi kesan positif kepada semua pelajar USM pada masa depan.
KONSEP kelestarian pengurusan kos pengubahsuaian memberi kesan positif kepada semua pelajar USM pada masa depan.

“Jadi, saya melihat kita perlu bangunkan konsep penginapan yang lebih santai, moden dan selesa untuk membolehkan pelajar terus memilih tinggal di dalam kampus berbanding menyewa di luar,” katanya yang juga bekas Dekan Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM itu.

Ditanya mengenai garapan konsep kelestarian USM di dalam projek itu, katanya, bilik yang lebih tampak moden seperti itu pastinya menelan kos pengubahsuaian yang tinggi dan memerlukan pihak universiti mengenakan caj sewaan bilik asrama lebih tinggi kepada pelajar.

BILIK untuk seorang pelajar turut dilengkapi sofa.
BILIK untuk seorang pelajar turut dilengkapi sofa.

“Rasionalnya, kita perlu tahu 60 peratus pelajar di USM bukan daripada keluarga berpendapatan tinggi atau terdiri daripada golongan B40. Jadi projek di peringkat awal ini kita tawarkan kepada pelajar yang berkemampuan terutama dari luar negara terlebih dahulu.

“Hasil pendapatan yang diperoleh daripada mereka yang terawal menggunakan bilik itu, kita akan jadikannya sebagai modal pusingan untuk mengubah suai bilik yang lain sekali gus memberi peluang kepada pelajar berlatar belakang keluarga B40 untuk menikmati limpahan pendapatan itu tanpa dikenakan caj yang tinggi,” katanya.

DR Aldrin mencetuskan ilham gaya kontemporari bilik asrama di USM.
DR Aldrin mencetuskan ilham gaya kontemporari bilik asrama di USM.

Dr Aldrin berkata, konsep menggunakan modal pusingan itu untuk membantu pelajar kurang berkemampuan juga adalah sebahagian daripada cabang kelestarian yang diterapkan dalam pengurusan kewangan organisasi USM.

Mengupas lanjut mengenai hiasan dalaman tiga desasiswa berkenaan, katanya, terdapat dua jenis bilik iaitu bagi seorang dan dua pelajar untuk dihuni dengan luas bilik masing-masing 13 serta 15 kaki persegi.

Katanya, dinding di bilik-bilik berkenaan menggunakan warna semula jadi seperti coklat dan biru. Dari segi aksesori di bahagian tingkap, tidak sekadar menggunakan langsir yang menjadi elemen privasi penghuni, malah tirai juga digunakan sebagai lapisan pertamanya.

“Bagi bilik seorang pelajar, ia mempunyai perabot seperti almari pasang siap, set meja belajar, penyidai besi, katil bujang, sofa dan turut dilengkapi aksesori hiasan yang lain bagi mewujudkan rasa lebih santai.

“Manakala bilik yang menempatkan dua orang pelajar, turut dilengkapi perabot asas seperti bilik seorang pelajar tetapi tidak dilengkapi dengan sofa kerana tidak mahu ruang menjadi sempit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:00 AM