Muhamaad Razis Ismail


“SAYA mahu jadikan kediaman sebagai tempat yang menenangkan selepas seharian bekerja di pejabat,” kata Xavier Mah.

Jadi tidak hairan mengapa Xavier memilih gabungan konsep moden dan minimalis dengan sentuhan Scandinavia di kondominium baharunya yang terletak di Secoya Residences di Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur.

Sebaik melangkah masuk dalam kediaman ini, kelihatan pemandangan semula jadi hutan dari ruang tamu yang terletak di kanan rumah. Secara tidak langsung, penulis kagum dengan cita rasa perunding perhubungan awam ini.

Kediaman berkeluasan 1,450 kaki persegi itu tampil dengan perabot menarik dan susun atur yang ‘bijak.’ Ia bagi memastikan lebih banyak ruang kelihatan di dalam kediaman yang memiliki empat bilik dan tiga bilik air itu.

BILIK tidur utama menggunakan perabot terpilih.
BILIK tidur utama menggunakan perabot terpilih.

Kombinasi warna kontra gelap dan putih mewujudkan garisan yang menampakkan setiap ruang seperti bersambung antara satu sama lain, sekali gus tampil lebih luas. Perabot berwarna gelap juga dipadankan dengan suasana.

Lebih menarik lelaki berusia 30-an ini memilih kediaman yang menghadap hutan dan pencahayaan semula jadi membuatkan sejuk mata memandang, sekali gus sesuai dengan jiwanya yang mencintai keindahan alam.

Xavier berkata, dia meminati konsep minimalis yang ringkas dan tidak berlebihan supaya ruang di kediamannya itu lebih luas.

SUSUN atur perabot menampakkan rumah lebih luas.
SUSUN atur perabot menampakkan rumah lebih luas.

Lantas dia menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman L+R Studio yang memahami cita rasanya.

“Saya kurang gemar kediaman yang dipenuhi pelbagai kelengkapan sehingga menyesakkan mata dan mengecilkan ruang. Oleh itu, saya hanya ketengahkan beberapa perabot yang praktikal untuk kegunaan penghuni di dalam kediaman ini.

“Biar pun anda hanya nampak satu sofa di ruang tamu, namun ia boleh ‘dipecahkan’ untuk kegunaan tetamu yang ramai.

“Saya juga menggunakan meja bar besi yang ditempah khas di dapur untuk mendapatkan ‘mood’ santai sambil menikmati hidangan.

“Pada masa sama, saya turut menggunakan cermin untuk menampakkan ruang tamu kelihatan lebih luas,” katanya.

XAVIER ketengah beberapa perabot yang praktikal.
XAVIER ketengah beberapa perabot yang praktikal.

Menurutnya, susun atur perabot juga dibuat secara ringkas dan tidak terlalu sofistikated.

“Saya tidak mahu ruang di dalam rumah kelihatan ‘sesak’ dan saya pastikan kedudukan perabot berada di tempatnya.

“Malah, anda boleh lihat di bilik tidur utama, saya hanya menggunakan beberapa perabot seperti katil, meja dan cermin,” katanya.

Tambahnya, pemilihan warna turut memainkan peranan penting untuk memastikan suasana yang ringkas dan tidak berlebihan.

“Di bahagian dinding ruang tamu, saya memilih warna hijau gelap dan putih. Ini sesuai dengan kedudukan rumah yang menghadap hutan dan jika diperhatikan kombinasi warna ini sebenarnya membentuk huruf X.

“Manakala bahagian dinding utama, saya pilih kombinasi kelabu gelap dan papan pegangan warna putih yang sesuai untuk menggantung pelbagai barang,” katanya.

Katanya, di dapur turut memiliki konsep ringkas dan ‘terrazzo’ yang jarang digunakan pemilik kediaman di negara ini.

“Di permukaan kaunter dapur menggunakan marmar hitam yang sesuai dengan konsep minimalis selain tahan lasak,” katanya.

Mengulas lanjut, dia sengaja memilih kedudukan rumah yang menghadap hutan yang terletak 100 meter dari kediamannya.

“Daripada ruang tamu dan bilik tidur utama, saya dapat menjamu mata dengan keindahan landskap semula jadi biarpun tinggal di bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 7:00 AM
RUMAH menghadap hutan memberi ketenangan kepada Xavier.
RUMAH menghadap hutan memberi ketenangan kepada Xavier.
Digital NSTP Subscribe