X
CALADIUM bicolor
CALADIUM bicolor
Muhamad Adli Salihin Samsudin


Satu fakta harus diingat, pokok tidak menyedut habuk. Sebaliknya hanya menyedut gas pencemar yang terampai di udara seperti kajian yang dilakukan NASA iaitu gas pencemar seperti Formaldehid, Benzena, Xylena dan Toluena yang terdapat di sekeliling kita.

Kini tular beberapa tanaman dijadikan penghias ruang dalaman. Namun, di sebalik kelebihan pada setiap tanaman, ada yang dikategorikan sebagai beracun ataupun bertoksin.

Sansevieria
Sansevieria

Cara menguruskan pokok dikategorikan sebagai beracun atau bertoksin:

1. Letak di tempat yang selamat dan pastikan jauh daripada capaian kanak-kanak bagi mengelakkan mereka memegang atau menggigit tanaman itu.

2. Labelkan tanaman beracun sebagai didikan, informasi dan maklumat supaya langkah pencegahan dapat diambil.

3. Namun ada tanaman yang dikategorikan sebagai toksin atau beracun ini mempunyai nilai perubatan yang baik. Oleh sebab itu, dapatkan nasihat daripada pakar mengenai cara penggunaannya untuk perubatan. Kebiasaannya ia hanya untuk kegunaan luaran dan tidak boleh dimakan.

4. Jangan hidu tanaman itu walaupun menghasilkan bunga yang menarik dan unik kerana kebiasaannya ia mempunyai debunga yang boleh membahayakan jika termasuk dalam saluran pernafasan.

5. Gunakan peralatan yang bersesuaian jika melakukan aktiviti penyelenggaraan tanaman ini seperti menggunakan sarung tangan, pelitup muka, gunting dan gaji pangkasan. Pastikan semua peralatan itu berada dalam keadaan baik.

6. Jangan makan dan minum ketika berkebun kerana dikhuatiri mencemarkan tangan.

7. Basuh tangan dengan kaedah yang betul dan bersih terutama selepas melakukan aktiviti berkebun serta penyelenggaraan tanaman.

8. Jika perlu, elakkan penggunaan pokok yang dikenal pasti sebagai beracun di dalam rumah atau pejabat. Banyak lagi tanaman dilihat berpotensi tinggi untuk digunakan sebagai tanaman hiasan dalaman.

9. Pastikan mendapat maklumat sahih mengenai tanaman yang ingin dibeli menerusi atas talian dan bertanya pakar tanaman hiasan.

10. Pihak penjual pokok dan input pertanian (nursery), hendaklah memberikan penerangan yang jelas dan tepat kepada pembeli.

11. Segera mendapatkan rawatan jika berlaku kecemasan ketika berkebun atau terkena kesan daripada pokok beracun atau toksin.

Walaupun ada yang dikategorikan sebagai beracun, namun kita harus menghargai tanaman kerana sangat cekap dan berupaya menyerap gas pencemar yang terdapat di sekeliling.

Muhamad
Muhamad

Penulis adalah Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 11:40 AM