X
RUANG terhad di kediaman digunakan secara praktikal untuk bercucuk tanam pelbagai spesies tanaman
RUANG terhad di kediaman digunakan secara praktikal untuk bercucuk tanam pelbagai spesies tanaman
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk menangani penularan Covid-19 di negara ini pada pertengahan Mac lalu, pelbagai usaha kreatif rakyat Malaysia bagi memastikan bekalan dan jaminan makanan mencukupi.

Tidak kira memiliki kediaman sempit sekali pun, ruang yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk bercucuk tanam.

Begitupun, landskap lembut yang menggunakan spesies tanaman boleh dimakan (edibel) sebenarnya sesuai diselang-selikan dengan tanaman hiasan lain bagi menimbulkan karakteristik lebih menarik.

Perkongsian Pensyarah Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Yazid Mohd Yunos ini sangat bermakna.

"Landskap edibel adalah susun atur elemen landskap di sudut balkoni, laman kediaman atau ruang lapang di kawasan komuniti dengan pelbagai spesies tanaman yang boleh dimakan.

"Ia juga kebun tanaman makanan untuk jaminan makanan, penambah perisa dalam masakan, ulam-ulaman dan bahan remedi.

CONTOH landskap edibel yang diselang-selikan dengan tanaman hiasan.
CONTOH landskap edibel yang diselang-selikan dengan tanaman hiasan.

GAYA dan konsep reka bentuk landskap edibel adalah kombinasi gabungan tanaman makanan dan hiasan
GAYA dan konsep reka bentuk landskap edibel adalah kombinasi gabungan tanaman makanan dan hiasan

"Landskap edibel kini dikatakan menjadi trend pilihan utama peminat landskap kediaman bandar kerana gaya reka bentuknya boleh menonjolkan pelbagai karakter dan berfungsi mengikut kesesuaian kehendak pengguna," katanya.

Malah beliau turut mengakui trend itu semakin popular kerana masyarakat kian prihatin kepada keselamatan makanan yang menjadi salah satu tumpuan negara untuk mencapai kriteria kelestarian.

"Gaya dan konsep reka bentuk landskap edibel adalah kombinasi gabungan tanaman makanan dan tanaman hiasan untuk menghasilkan suasana harmoni dan keindahan sekali gus menjadi terapi minda ketenangan di kediaman.

"Selain itu, landskap edibel juga adalah alternatif kepada tanaman hiasan sedia ada dan trend terkini ketika atau pasca Covid-19 itu sendiri.

"Ia dikatakan menjadi satu normal atau kelaziman baharu kepada masyarakat bandar untuk keperluan makanan harian," katanya.

Jelas Dr Mohd Yazid lagi, penduduk khususnya di kawasan bandar kini semakin prihatin dengan kualiti dan keselamatan sumber makanan mereka.

TANAMAN hiasan dan tanaman boleh dimakan menyerikan ruang balkoni.
TANAMAN hiasan dan tanaman boleh dimakan menyerikan ruang balkoni.

Kata beliau, kesedaran terhadap pemakanan organik dan pertanian bandar juga semakin popular sekali gus menggalakkan promosi keselamatan, kualiti makanan selain dapat membantu menjimatkan kos perbelanjaan makanan harian.

"Trend landskap edibel itu menjadi keunikan kepada masyarakat di bandar kerana ia juga membabitkan aktiviti berkebun," katanya.

Dr Mohd Yazid berkata, apa yang menariknya mengenai tanaman landskap edibel itu adalah boleh digunakan pada ruang terhad di kediaman strata atau bertingkat.

"Konsep landskap edibel menyediakan suatu usaha kreativiti dalam menghias ruang laman kediaman sama ada kecil atau luas dan ruang hijau komuniti kejiranan dengan susun atur tanaman yang menghasilkan sumber boleh dimakan," katanya.

INDIVIDU mahu pun keluarga yang memiliki kediaman. dengan ruang untuk bercucuk tanam adalah satu kelebihan.
INDIVIDU mahu pun keluarga yang memiliki kediaman. dengan ruang untuk bercucuk tanam adalah satu kelebihan.

Bagi penghuni kediaman yang mempunyai ruang terhad, anda perlu terlebih dahulu mengenal pasti fungsi utama ruang yang ada pada kediaman masing-masing.

Kediaman strata bertingkat seperti pangsapuri dan kondominium boleh memaksimumkan ruang itu dengan susun atur seimbang.

Kata Dr Mohd Yazid, ruang balkoni berkenaan boleh menaikkan impak harmoni, estetika, remedi dan lebih kondusif sebagai tempat berehat, bersantai serta menerima tetamu.

"Bagi ruang terhad untuk reka bentuk landskap edibel boleh menggunakan kaedah secara menegak seperti pemasangan rak pada dinding manakala pasu juga boleh disusun secara bertingkat di ruang balkoni dengan susun atur perabot lain seperti kerusi, meja dan lampu," katanya.

TANAMAN jenis boleh dimakan juga boleh ditanam di kediaman yang memiliki ruang terhad seperti pangsapuri.
TANAMAN jenis boleh dimakan juga boleh ditanam di kediaman yang memiliki ruang terhad seperti pangsapuri.

ANTARA tanaman yang sesuai ditanam.
ANTARA tanaman yang sesuai ditanam.

"Selain itu, sesuai juga ditanam jenis tanaman bunga yang boleh dimakan dan juga untuk tujuan hiasan, wangian, pewarna makanan seperti bunga telang, melur, ros mahu pun kekwa," katanya.

Bagi anda yang tidak banyak masa di rumah, Dr Mohd Yazid menyarankan supaya memilih gaya reka bentuk landskap edibel lebih praktikal dengan pemilihan spesies tanaman mudah dijaga dan tahan lasak dengan susun atur ringkas serta memberi titik tumpu.

Katanya, kebijaksanaan dan kreativiti penghuni kediaman memilih spesies tanaman meningkatkan lagi nilai estetika serta keindahan pada ruang balkoni mahu pun laman.

"Apa yang penting, kelestarian alam dan keselamatan makanan untuk penghuni kediaman dengan normal baharu reka bentuk landskap edibel ternyata memberi banyak manfaat untuk masyarakat," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 7:00 AM