MENURUT Slamet, dia mendapat ilham untuk mencantikkan kampung itu dari perkampungan lain yang turut menjalani transformasi.
MENURUT Slamet, dia mendapat ilham untuk mencantikkan kampung itu dari perkampungan lain yang turut menjalani transformasi.

Sebuah kampung yang dulu bukannya tarikan utama di selatan Indonesia, kini umpama perangkap pelancong selepas menjalani transformasi dramatik.

Orang ramai berduyun-duyung datang ke Kampung Pelangi di Randusari, Jawa Tengah, selepas kerajaan tempatan memberi dana untuk membentuk semula penempatan itu menjadikannya seindah fenomena itu.

Majlis jawatankuasa kawasan itu memperuntukkan dana 300 juta rupiah (RM95,200) untuk mengubah suai penempatan sederhana itu menjadi tarikan pelancong, bulan lalu.

Persatuan Pembina Indonesia Semarang turut menyediakan bahan dan pekerja untuk projek itu.

Datuk Bandar Semarang, Hendrar Prihadi, tidak ketinggalan menyumbang tenaga apabila bersama-sama mengecat dinding 232 rumah dengan tangan.

Rancangan itu yang mengambil masa lebih sebulan, akhirnya selesai lewat April lalu dan sejak itu menjadi popular di media sosial.

Sejak kebelakangan ini, pengunjung berkongsi imej pemandangan fotogenik kampung berkenaan di Instagram, seterusnya menjadikan kediaman pelbagai warna itu semakin popular di peringkat global.

Setiap rumah di kawasan yang sebelum ini kawasan setinggan, kini dihiasi pelbagai warna seperti kuning, ungu dan biru.

Lelaki di sebalik visi ini, guru, Slamet Widodo, 54, berkata, dia mendapat ilham untuk mencantikkan kampung berkenaan dari beberapa kampung lain di negara itu yang melalui perubahan.

“Idea untuk mencipta Kampung Pelangi muncul selepas saya melihat kecantikan Kampung Warna-Warni dan Kampung Tridi di Malang, dan selepas itu, Kampung Kali Code di Yogyakarta.

“Saya berharap Kampung Pelangi terkenal di Indonesia dan menawarkan tarikan pelancongan baru di Semarang,” kata Slamet.

Jabatan Seni dan Kebudayaan serta Sukan kawasan itu, Gapensi Semarang berkata: “Satu rumah mempunyai sekurang-kurangnya tiga warna. Kami turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pelancongan untuk membantu membangunkan Kampung Pelangi.”

Penduduk tempatan turut mendapat kelebihan dengan mengambil kesempatan menjual kraftangan buatan mereka kepada pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 1:21 AM