SET nasi campur yang dihidangkan dalam satu dulang pada harga berpatutan.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Lebih 80 menu hidangan Barat dan Timur ditawarkan pada harga serendah RM1 untuk minuman dan RM3.50 untuk makanan di Emmy’s Kitchen. Ketika ekonomi begitu mencabar, pastinya kedai makan ini menjadi tumpuan ramai untuk menjamu selera kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

Kedai di Kampung Padang Maju Business Park, Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, kali ini menawarkan menu terbaru, iaitu set nasi dulang dengan aneka pilihan lauk seperti ayam atau daging, sayur campur, telur dadar, sambal dan ulam-ulaman pada harga RM25 untuk hidangan empat orang.

Pemiliknya, Emylia Diana Shaari, 31, berkata, kedai makan yang sinonim disebut ‘kedai kuning’ dan popular dalam kalangan pelanggan berkeluarga mula beroperasi sejak tiga tahun lalu.

Malah, majoriti pelanggan daripada golongan sederhana yang menjadikan harga di tempat pertama sebelum membuat keputusan untuk menjamu selera.

“Kami menawarkan konsep hidangan ‘street western’ bagi membolehkan masyarakat menikmati hidangan makanan Barat pada harga berpatutan. Setakat ini, pelanggan amat berpuas hati kerana mereka tidak perlu membayar lebih untuk hidangan Barat yang biasanya mahal.

“Ada kala pelanggan mahu mencuba semua jenis makanan Barat tetapi di luar kemampuan. Oleh itu, saya mempelbagaikan menu dalam satu dulang supaya mereka boleh menikmatinya tanpa terlalu memikirkan harga,” katanya.

Antara hidangan ditawarkan, nasi bolognese big plate, cheezy lasagna beef, spaghetti bolognese meatball, nachoritos, floodover grill chicken, nasi goreng beef steak, mi goreng Taliban dan nasi udang beratur.

Makanan Barat dalam talam seperti campuran chicken chop, chicken grill, lamb chop, spagetti, meatball, wedges, kentang goreng dan nuget, sosej, sup cendawan dan roti bawang putih hanya berharga RM49 untuk empat hingga enam orang dan RM89 untuk enam hingga 10 orang.

Selain makanan Barat, Emmy’s Kitchen menawarkan pelbagai masakan panas berasaskan nasi, mi, bihun dan kuetiau serta lauk-pauk daripada ayam, daging, ikan, sotong dan udang.

“Lasagna berkeju kami paling mendapat sambutan ramai kerana rasa dan aromanya yang unik. Ia dimasak menggunakan sos bolognese daging, sos putih, susu segar, mentega dan keju parmesan sebelum dikukus dalam tempoh 10 minit saja.

“Saya seorang yang kreatif dan suka mencipta kelainan. Disebabkan itu, dekorasi kedai termasuk peralatan pinggan mangkuk juga dilihat berbeza daripada yang lazim digunakan,” katanya yang mengusahakan kedai makan itu bersama suami, Mohd Nizam Othman, 35.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 4:23 AM