SERANGAN udara yang memusnahkan bangunan di Erbin turut meragut 170 nyawa.
SEORANG pejuang Tentera Pembebasan Syria dalam perjalanan ke medan pertempuran di Erbin.
SELEPAS sekian lama menderita kerana dikepung, penduduk Ghouta Timur terpaksa menjalankan apa sahaja kegiatan untuk meneruskan kehidupan mereka.
KEBANYAKAN penduduk daerah itu kini bergantung kepada pertanian tempatan untuk hidup tetapi hasil tanaman tidak mencukupi untuk menampang permintaan.
DUA kanak-kanak bermain guli di tengah jalan di Erbin. Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 280,000 kanak-kanak antara lebih 600,000 penduduk yang terkepung di sekitar Damsyik.
KELONGSONG peluru menjadi bahan permainan kanak-kanak di Ghouta Timur.
ORANG ramai menunggu giliran untuk membeli roti. Pada musim sejuk, penduduk daerah itu banyak bergantung kepada kayu untuk memanaskan badan dan memasak.
SEORANG lelaki menjual petrol dan rokok.
KAWASAN beli-belah di Erbin yang dulunya sibuk, kini lengang.
Kamarudin Mohamed Salleh

Ghouta Timur, daerah di pinggir utara Damsyik dikepung sebahagiannya oleh tentera rejim Syria sejak 2013.

Menurut laporan Siege Watch yang berpejabat di Belanda, tindakan rejim itu yang melarang orang awam keluar atau masuk menyebabkan 400,000 penduduk daerah itu menderita.

Yang dibenarkan memasuki daerah itu sejak kepungan dilakukan hanyalah penghantaran sedikit makanan yang didermakan atau untuk dijual.

Ia satu daripada tiga daerah yang dikepung di sekitar Damsyik. Dua lagi ialah Daraya di selatan ibu negara Syria itu dan Moadamiya, di barat daya.

Antara kejiranan paling teruk terjejas di Ghouta Timur ialah Erbin. Menurut penduduk bandar berkenaan, pasar, hospital dan sekolah sering menjadi sasaran serangan udara Russia dan Syria sepanjang konflik yang masuk tahun ketujuh itu kerana ia menjadi kubu kuat beberapa kumpulan, termasuk Jaish al-Islam, Pasukan Ar-Rahman dan Hayat Tahrir al-Sham.

Kepungan yang dilakukan tentera Syria itu menyebabkan penduduk Ghouta Timur hidup menderita, kadangkala tanpa air dan bekalan elektrik selama beberapa minggu. Perkhidmatan awam langsung tidak wujud untuk membantu penduduk menjalani kehidupan seharian.

Bagaimanapun, selepas sekian lama menderita, penduduknya sudah terbiasa dengan keadaan itu dan dapat menyesuaikan diri serta mencipta cara sendiri untuk meneruskan kehidupan, termasuk menggunakan tumbuhan yang banyak didapati di bandar itu untuk mendapatkan makanan dan memperoleh air secara mengepamnya dari telaga sedia ada.

Perjanjian ditandatangani Russia, Turki dan Iran di Astana, Kazakhstan minggu lalu, menetapkan pertempuran ditamatkan antara kumpulan penentang dan militan yang berjuang bagi pihak rejim Syria di empat zon terletak di kawasan yang dikuasai penentang di negara itu.

Ghouta Timur adalah satu daripadanya.

Rancangan itu menetapkan gencatan senjata selama enam bulan dan boleh diperbaharui.

Ia juga menegaskan, permusuhan akan dikawal oleh ketiga-tiga negara yang menandatangani perjanjian berkenaan, termasuk jenis senjata yang digunakan.

Menurut dokumen perjanjian itu, akses kemanusiaan akan disediakan serta-merta di bawah pengawasan rejim Syria.

Penduduk Ghouta Timur tidak ada pilihan, kecuali menunggu nasib mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 10:16 AM