APABILA tarian itu diadakan untuk majlis keagamaan, kumpulan tarian tradisional lain turut dijemput.
SEORANG penari menggunakan tangga untuk memanjat tiang.
PENARI menari sekeliling tiang setinggi 30 meter sebelum memanjat dan tergantung dalam keadaan terbalik.
HM Digital

Pada 2009, Danza de los Voladores atau Tarian Manusia Terbang, diiktiraf sebagai Warisan Budaya Terpelihara oleh UNESCO - agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab dalam pendidikan, sains dan kebudayaan.

Ia upacara zaman Mesoamerika yang masih diamalkan di beberapa kawasan di Mexico.

Upacara itu asalnya dilakukan untuk mencari keharmonian antara dewa kuno, bumi dan manusia. Penari akan menari sekeliling tiang setinggi 30 meter sebelum memanjatnya.

Penari yang mewakili empat unsur semula jadi iaitu air, angin, bumi dan api itu, menjalankan upacara dengan mengikat kaki menggunakan tali sebelum tergantung dalam keadaan terbalik, manakala seorang daripada mereka berdiri di atas tiang sambil bermain seruling, memukul gendang dan menari.

Upacara itu kini diubah supaya ia sesuai diper­sembahkan dalam majlis keagamaan dan untuk hiburan pelancong.

Kampung Cuetzalan dinamakan sebagai antara Bandar Magis pertama pada 2002 oleh Jabatan Pelancongan Mexico. Program itu diperkenalkan bagi mempromosikan pelancongan tempatan. Kampung lain juga boleh memohon untuk dicalonkan jika mereka mempunyai kriteria tertentu dalam unsur sejarah, kebudayaan dan semula jadi.

Taraf itu sekali gus membawa banyak publisiti, pelancong dan dana ke kampung berkenaan. Lebih ramai pelancong yang datang, lebih banyak sumbangan diperoleh.

Dengan peruntukan itu penari boleh mendapat­kan pakaian baru yang harganya antara 4,500 peso (RM1,100) dan 6,000 peso (RM1,300) setiap satu.

Selain itu, ia juga menimbulkan minat dalam kalangan kanak-kanak untuk menjadi pelapis bagi memastikan tradisi itu kekal hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:32 AM