SYED Mohamad Asyraf (tengah) bersama kakitangan kafe.
SANDWIC roti sourdough bersama keju.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Ada beza apabila menikmati sandwic di Commoners Space kerana kafe ini menggunakan roti adunan masam yang dikenali ‘sourdough’ sebagai bahan utamanya.

Roti sourdough kelihatan keras dan berat, namun sebenarnya rangup di bahagian luar serta lembut di bahagian dalamnya andai dibandingkan dengan kebanyakan roti yang selalu digunakan daripada jenis gebu dan lembut.

Pemilik kafe, Syed Mohamad Asyraf Syed Mahadi, 23, berkata adunan sourdough adalah teknik pembuatan roti tradisional di Eropah dan popular di negara rantau sana sebelum kini menjadi trend di Amerika Syarikat dan Asia.

“Pembuatan roti sourdough berbeza dengan pembuatan roti yang dijual secara komersial kerana adunan roti ini akan dicampurkan dengan doh masam iaitu campuran air dan tepung yang dibiarkan terbuka pada suhu persekitaran untuk proses penapaian berlaku.

“Doh masam ini kemudian dicampur tepung roti atau tepung gandum putih dan garam sebelum diuli selama tiga jam. Adunan yang siap diuli kemudian direhatkan selama lapan jam dan dibakar kira-kira 45 minit,” katanya.

Syed Mohamad Asyraf berkata, kerja mengadun roti dimulakan pada jam 5 petang sebelum dibakar kira-kira jam 10.30 pagi keesokan harinya, dan setiap hari beliau perlu menyediakan lapan hingga 12 roti sourdough untuk pembuatan sandwic.

“Roti sourdough sangat baik untuk kesihatan terutama mereka yang mengamalkan diet sihat. Malah, roti jenis ini juga bebas gluten iaitu campuran protein yang terdapat dalam gandum dan bijirin.

“Mereka yang memikirkan diet yang sihat mungkin boleh mengamalkan roti sourdough ini sebagai satu daripada menu sihat terbaik dalam pengambilan makanan harian. Ia juga sesuai untuk pesakit diabetes kerana rendah indeks glisemik,” katanya.

Pelbagai pilihan sandwic dengan roti sourdough seperti sandwic telur dengan sos pesto, sandwic keju dengan hirisan daging lembu, sandwic cendawan dan bawang karamel. Selain sandwic roti sourdough, turut terdapat sandwic dengan roti Itali, ciabatta dan roti pastri Perancis, brioche.

Turut disajikan pasta spageti dan linguine serta risotto bersama salad segar. Malah, minuman kopi di kafe ini dengan rasa seimbang yang tidak terlalu pahit, terlalu manis atau masam antara hidangan paling mendapat permintaan tinggi serta mempunyai penggemar tersendiri.

“Kami menggunakan banyak bahan tempatan, malah menggantikan salad yang mahal kepada ulam. Ini bagi membolehkan semua golongan dapat menikmati sajian kami yang ditawarkan pada harga antara RM5 hingga RM20,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:28 AM