PELAJARI banyak perkara baru.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Imej Malaysia di fikiran lelaki berasal dari Iran ini adalah orang Melayu Islam berpakaian berwarna-warni berpusu-pusu menuju ke masjid.

Sogokan menerusi televisyen itu membuatkan Ali Neku tidak terfikir bahawa wujudnya bangsa mahupun etnik lain di Malaysia.

Bagi Ali, keharmonian Malaysia menjadi contoh kepada negara Islam lain kerana mampu hidup aman sejahtera meskipun wujud perbezaan.

Nasihatnya, pelancong asing seharusnya bijak menyesuaikan diri, mencuba budaya makanan, gaya komunikasi dan menikmati perbezaan budaya baru.

1. Kali pertama mengunjungi Malaysia dan tujuannya?

Saya datang ke Malaysia 16 tahun lalu apabila mengikuti program bahasa Inggeris, sebelum merancang melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat (AS).

Namun apa yang dirancang bertukar sebaliknya, saya tertarik dengan sistem pendidikan di Malaysia seterusnya memilih menyambung pengajian dalam bidang perisian dan reka bentuk permainan video di universiti swasta di sini.

Sejak 2001, saya tidak pernah pulang menetap ke tanah air kecuali menziarahi keluarga atau urusan kerja.

2. Pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum datang ke sini?

Sekitar 2000, Malaysia tidak popular di Iran dan hanya segelintir datang bercuti ke negara ini.

Apa yang saya tahu ialah Malaysia terletak di Asia Tenggara. Saya pernah menonton iklan mencerminkan Malaysia terutama pada hari raya, ramai Muslim menuju ke masjid dengan pakaian berwarna-warni. Hanya imej ini terbayang di fikiran saya mengenai Malaysia.

Kali pertama saya tiba di lapangan terbang Malaysia, saya terkejut kerana terlalu ramai pelancong dari China dan India.

Rupa-rupanya saya tersilap, Malaysia bukan saja didiami orang Melayu Islam sebaliknya ada pelbagai bangsa termasuk Cina dan India.

3. Cabaran sepanjang berada di Malaysia?

Makanan pedas cabaran utama. Kolej saya di Cyberjaya dan ketika itu, Cyberjaya bukan seperti hari ini.

Sukar mencari makanan dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada makanan yang disajikan di kafe iaitu bertentangan dengan budaya makanan asal saya.

Saya pernah mengambil mi goreng dalam kuantiti yang banyak kerana menyangka ia adalah spageti. Ia satu memori yang sungguh kelakar.

Lama-kelamaan, saya boleh menyesuaikan diri dan kini, makanan pedas adalah kegemaran saya.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Banyak perkara dan benda baru saya pelajari dan lakukan sepanjang berada di Malaysia.

Di sini, saya mula belajar bahasa Inggeris, menjadi pemandu pelancong Iran secara sambilan hingga memulakan agensi pelancongan sendiri, syarikat perdagangan malah mengahwini wanita tempatan berbangsa Cina.

5. Lokasi pilihan anda?

Restoran mamak kerana variasi makanan dan minuman serta menjadi tumpuan seluruh masyarakat pelbagai kaum.

Menariknya restoran mamak ini, ia berkonsep terbuka dan pelanggan lebih suka memilih tempat duduk di luar.

Jika di Iran, undang-undang berkaitan makanan, kesihatan dan restoran sangat ketat. Kami tidak dibenarkan makan di luar kawasan premis perniagaan. Kelakarnya, saya juga memilih untuk duduk di luar.

6. Makanan tempatan kegemaran anda?

Durian adalah kegemaran saya.

7. Malaysia di mata anda?

Malaysia sebuah negara yang berwarna-warni daripada segi masyarakat, budaya, adat dan makanan.

Menariknya, mereka mampu hidup harmoni dan saling menghormati satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:30 AM