TENGKU ADNAN beramah mesra dengan peserta.
PESERTA dijamu sarapan oleh Tengku Adnan sebelum meneruskan kayuhan.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Tidak kira dekat mahupun jauh, pengalaman berkayuh secara santai beramai-ramai pasti memberikan pengalaman riadah paling mengasyikkan.

Tanyalah pada sesiapa sahaja, termasuk yang sukakan cabaran lasak mahupun kelajuan, pastinya mereka akan mengakui itulah detik kayuhan paling seronok dirasai lantaran tidak perlu memeras kudrat sepenuh hati untuk membuktikan keupayaan diri.

Malah, kerana keseronokan itulah, seramai 800 peminat sukan berbasikal menyertai kayuhan Putrajaya Community Ride (PCR) 2017 Siri 2 yang diadakan baru-baru ini.

Anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Persatuan Berbasikal Putrajaya, Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya, Biro Sukan UMNO Putrajaya, Badan Amal Kasih Ibu dan V4 Putrajaya, peserta dibawa berkayuh sejauh 11 kilometer (km).

Pelepasan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sekitar jam 8 pagi di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18.

Antara lokasi menarik dilalui peserta tiga laluan di jambatan ikonik Putrajaya iaitu Jambatan Seri Bistari, Jambatan Seri Bakti dan Jambatan Seri Wawasan.

Jambatan itu menjadi penghubung lokasi penting sekitar Putrajaya yang tidak sekadar menempatkan bangunan pentadbiran kerajaan, lebih-lebih lagi lokasi yang menempatkan struktur ikonik, pusat rekreasi dan mercu tanda Putrajaya.

Menerusi kayuhan itu juga, peserta dibawa ke rumah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk bersarapan sebelum menamatkan kayuhan di kawasan permulaan.

Koordinator Program PCR 2017, Mohd Azri Heikal Abd Latif berkata, PCR sudah memasuki tahun kedua penganjuran yang mana tahun pertama pada 2016 diadakan sebanyak tiga siri, manakala bagi tahun 2017, PCR diadakan sebanyak 4 siri.

Katanya, setiap siri kayuhan akan diadakan di lokasi berbeza sekitar Putrajaya yang dipecahkan mengikut zon.

“Biarpun PCR ini kita adakan di Putrajaya, sebenarnya ia terbuka secara percuma kepada sesiapa sahaja yang berminat menyertainya.

“Oleh kerana ia diadakan secara bersiri, setiap kayuhan ini akan memberikan pemandangan serta pengalaman kayuhan yang berbeza di lokasi yang sinonim sebagai bandar dalam taman itu,” katanya.

Menurut Mohd Azri, penganjuran PCR adalah ilham Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaras usaha merapatkan hubungan dalam kalangan penduduk Putrajaya selain hubungan komuniti setempat dengan kerajaan tempatan.

“Disebabkan program berbasikal ini boleh dijalankan serentak dan boleh disertai beramai-ramai, ia sudah menjadi sebagai aktiviti rasmi di Putrajaya sejak 2016.

“Malah, aktiviti ini juga cara terbaik untuk menggalak serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk Putrajaya,” katanya.

Biarpun khusus untuk warga Putrajaya, ia terbuka kepada peminat sukan berbasikal dari luar sebagai cara untuk mempromosikan lokasi itu sebagai venue selamat dan paling sesuai menjalankan aktiviti riadah berbasikal.

Menerusi PCR 2017, peserta yang berjaya menamatkan kayuhan akan menerima medal penamat sebagai tanda penghargaan selain kelayakan untuk memenangi 70 hadiah cabutan bertuah dalam setiap siri kayuhan.

Namun, bagi melayakkan mereka mendapatkan jersi basikal PCR 2017 selain kelayakan untuk menyertai cabutan bertuah utama, peserta wajib menyertai tiga daripada empat siri kayuhan yang diadakan iaitu termasuk siri akhir PCR 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:34 AM