SEMANGAT mengibarkan Jalur Gemilang ketika ­pelancaran.
RIAK teruja peserta menanti dilepaskan.
ISMAIL Izzani antara artis membuat persembahan ketika pelancaran kempen.
ANTARA belia ­memeriahkan kempen ketika pelancaran Merdeka Mybuddies Run.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Mahu menanam semangat perpaduan menerusi platform sukan antara inisiatif MYNIC iaitu agensi bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkerjasama iM4U menganjurkan Merdeka Mybuddies Run, baru-baru ini.

Menyasarkan pelbagai golongan peserta terutama dalam kalangan belia, larian dijangka mengumpul 8,000 pengunjung ke lokasi acara di Taman Ekspo Agro Malaysia (MEPS) Serdang, Selangor. Antara tiga kategori dianjurkan membabitkan larian jarak 5 kilometer (km), 10km dan 21km, dua kategori dipertandingkan iaitu 10km dan 21km menawarkan hadiah untuk 10 pelari terpantas.

5,000 Jalur Gemilang diagih

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan, berbanding tiga acara atau Mybuddies Run sebelum ini, Merdeka Mybuddies Run ialah kemuncak kerana diadakan seiring meraikan Hari Kebangsaan Malaysia ke-60.

“Larian ini acara utama setiap tahun bermula 2015 lagi. Tahun ini lebih bermakna kerana dianjurkan bersempena meraikan bulan kemerdekaan serta ulang tahun Hari Kebangsaan yang ke-60.

“Fokus kami selain meraikan peminat sukan larian, kami mahu menanam semangat perpaduan apabila disertai peserta daripada pelbagai latar belakang baik umur, agama serta bangsa disatukan menerusi acara ini. Secara tidak langsung ia turut bermaksud acara larian ini turut menyuburkan semangat patriotik.

“Tambah pula dengan kerjasama iM4U, kami lihat penyertaan belia lebih positif dalam acara berkenaan. Suka kami kongsikan dalam kempen ini, kami mengagihkan 5,000 bendera kepada peserta dan pengunjung lokasi berlangsungnya Merdeka Mybunddies Run,” katanya.

Sokong program patriotisme

Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Azlan Rudy Malik berkata, dia menyambut baik tawaran kerjasama MYNIC kerana program itu bukan saja kempen buat belia mengenai gaya hidup sihat malah memberi penekanan mengenai kesedaran semangat perpaduan serta patriotisme.

“Pada dasarnya, iM4U peranan kami selaku medium untuk menggerakkan belia untuk menyumbang kembali kepada masyarakat mahupun negara. Kami memberi sokongan dan menyambut baik hasrat mana-mana pihak menawarkan kerjasama dalam program sebegini.

“Kami sedia menjadi platform bagi agensi kerajaan dan korporat menjayakan kempen murni mereka. Kami sifatkan kerjasama MYNIC sudi menggunakan saluran seperti iM4U.fm dilihat sebagai persepakatan dalam menyampaikan mesej baik kepada golongan muda sebagaimana kempen atau program sempena merdeka pernah kami adakan satu ketika dulu.

“Harapan kami ialah khususnya golongan belia sekarang terus menyokong program sebegini sekali gus meluahkan semangat patriotik mereka menerusi saluran sesuai dan sihat,” katanya.

Lebih menarik dalam meraikan acara Merdeka Mybuddies Run, ia tidak saja membabitkan acara larian semata-mata bahkan pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan artis dalam mini karnival terbabit. Selain wang tunai dan Perodua Axia. Jumlah keseluruhan hadiah ditawarkan bernilai lebih RM80,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:41 AM