TAMAN kecil berhampiran bangunan CUOA Foundation menjadi tempat santai kegemaran penduduk di Altavilla Vicentina.
SEKELILING Dataran Piazza delle Erbe dibarisi kafe, butik mewah dan gerai cenderamata yang dibuka sehingga lewat petang.
PENGUNJUNG boleh menitipkan surat untuk Juliet dan akan dibalas oleh sekumpulan wanita tempatan.
ANJUNG Juliet seperti yang diceritakan dalam naskhah Romeo dan Juliet menjadi tarikan utama pengunjung ke Verona.
TUGU gangsa Juliet yang diletakkan di halaman rumah menjadi tumpuan kanta kamera pengunjung.
PENULIS menaiki bas merentasi Sungai Lungadige Galtarossa sebelum tiba di hentian Verona Porta Nuova.
Nor Faizah Mohamed
metahad@hmetro.com.my

“Venice, Milan atau Rome?” Ia soalan lazim diterima penulis tatkala merancang dan menyusun pelan percutian singkat ke Itali, baru-baru ini. Sememangnya Rome ada dalam senarai manakala Venice sekadar lokasi persinggahan atau transit sebelum meneruskan perjalanan ke Altavilla Vicentina.

Altavilla Vicentina adalah bandar kecil dalam daerah Vicenza, Veneto di utara Itali dengan hampir 15,000 penduduk. Istana dikenali Rocca terletak di kaki bukit Colli Berici menjadi titik sejarah kewujudannya yang dibina pada zaman pertengahan Eropah.

“Jadi, mengapa Altavilla Vicentina?” Juga antara soalan yang kerap ditanya dan mudah saja jawapan penulis - menemani si adik yang berkursus di situ. Pada masa sama penulis ingin mencabar diri mengunjungi kawasan yang jarang sekali menjadi pilihan kembara jika tiada alasan kukuh.

Untuk tiba di Altavilla Vicentina, kumpulan kami terdiri daripada penulis, adik dan ibu perlu menaiki bas pengantara ATVO dari Lapangan Terbang Marco Polo di Venice ke stesen kereta api Venezia Mestre yang mengambil masa 20 minit dengan bayaran tiket ₧4 (RM20.06) seorang.

Dari Venezia Mestre pula kami menaiki kereta api Trenitalia (seakan Komuter di Malaysia) ke stesen perhentian Vicenza dengan harga ₧8 (RM40.12) bagi perjalanan selama 35 minit.

Sejurus tiba di stesen Vicenza, perkhidmatan teksi diperlukan untuk ke Altavilla Vicentina berikutan pengangkutan awam lain seperti bas kurang menepati jadual perjalanan malah kadangkala langsung tiada perkhidmatan kerana kebanyakan penduduk mempunyai kenderaan sendiri.

Sepanjang kembara kami menggunakan pengangkutan awam di Itali, perkhidmatan kereta api majoriti memerlukan kad kredit untuk membolehkan penumpang membeli tiket di mesin sementara bas dan teksi masih menerima wang tunai.

Menjelang seminggu sebelum berangkat ke Itali, puas juga penulis cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai tempat menarik yang boleh dilawati di bandar ini dan majoriti terarah kepada restoran yang bukan saja popular dalam kalangan penduduk setempat malah daripada kejiranan berhampiran seperti Tavernelle dan Valmarana.

Dan sememangnya penulis serta keluarga yang ‘kaki makan’ berpeluang menikmati hidangan wajib apabila berada di Itali seperti spageti, pasta dan piza di beberapa restoran popular sekitar bandar itu seperti yang disyorkan dalam beberapa laman sesawang antaranya Restoran Monterosso Ristorante e Pizzeria serta Pasticceria yang menawarkan pelbagai jenis roti juga pastri enak.

Keramahan dan sikap terbuka penduduk Altavilla Vicentina juga menarik perhatian kami terutama selepas berdepan perangai dan insiden buruk di Venice. Penduduk Altavilla Vicentina menerima kunjungan tetamu luar dengan baik dan tiada pandangan menjengkelkan terhadap ibu penulis yang bertudung.

Kanak-kanak di Altavilla Vicentina juga amat menghormati orang tua dan mengikut peraturan terutama di tempat awam berbanding di Venice. Namun, tidak banyak aktiviti lawatan yang boleh dilakukan di bandar ini dan kami hanya mengambil masa sehari untuk mengelilingi kawasan sekitarnya.

Dataran kecil di bulatan pertemuan antara Jalan Via G Marconi, Viale G Verdi dan Via Morosini menjadi tempat lepak penduduk setempat kerana ia dikelilingi taman kecil dengan berlatarbelakangkan bangunan klasik institusi pendidikan CUOA Foundation serta Hotel Kolej Valmarana Morosini.

Andai dilihat dalam peta, lokasi Altavilla Vicentina tidak jauh dengan Verona - antara tempat yang menjadi senarai utama lokasi yang ingin dikunjungi penulis. Bagi peminat naskhah William Shakespeare, Verona bukan nama asing dan disebabkan epiknya nukilan sasterawan Inggeris itu membuatkan Verona muncul antara lokasi percutian paling popular di kawasan utara Itali.

Verona adalah bandar lama yang terletak di daerah Veneto dan dibina di antara Sungai Adige. Ia popular apabila menjadi lokasi utama dalam naskhah Romeo dan Juliet nukilan Shakespeare.

Untuk ke Verona kami perlu menaiki kereta api Trenitali dan mengharungi perjalanan selama 50 minit dengan pemandangan kampung tradisional Itali pada harga ₧7 (RM35.10) seorang untuk sehala.

Kami kemudian perlu berhenti di stesen Verona Porta Nuova dan menaiki bas nombor 130 untuk ke hentian Verona Stradone Scipione Maffei dengan harga tiket ₧2 (RM10.03). Dari hentian itu kami berjalan sejauh 700 meter menghala ke Via Capello untuk mencari letaknya Anjung Rumah Juliet.

Deretan butik mewah dan kafe sedikit menyukarkan kami mencari laluan masuk ke Rumah Juliet dan mujur kedai cenderamata menggunakan nama Juliet tertera di sebelah pintu masuknya menjadi panduan kami.

Rumah Juliet atau ‘Casa di Giulietta’ adalah bekas kediaman keluarga Capuleti. Ia bukan rumah sebenar Juliet kerana karya cinta Romeo dan Juliet itu hanya fiksyen serta tidak dapat dipastikan sama ada Shakespeare pernah mengunjungi Itali khususnya Verona.

Namun, disebabkan nama keluarga Capuleti itu seakan-akan watak dalam Romeo dan Juliet malah anjung yang diceritakan dalam karya itu juga serupa, ramai yang teruja mengunjunginya - termasuk penulis!

Ruang legar Casa di Giuliette tidak begitu besar dan anjung Juliet juga tidak setinggi apa yang digambarkan Shakespeare. Dengan ketinggian tiga tingkat, anjung itu boleh diakses dengan bayaran ₧6 (RM30.09) yang membolehkan pengunjung melawat ke segenap penjuru rumah Juliet.

Menariknya beberapa prop yang digunakan dalam filem Romeo and Juliet terbitan Zeffirelli pada 1936 masih dikekalkan. Untuk menambah nilai kunjungan itu, pihak berkuasa tempatan membina tugu gangsa Juliet di tepi halaman rumah itu yang turut menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar kenangan.

Lawatan kami ke Verona diakhiri dengan sesi membeli-belah barangan cenderamata di gerai kecil yang dibuka mulai tengah hari hingga ke petang di dataran Piazza delle Erbe yang jaraknya hanya sejauh dua minit berjalan kaki dari Rumah Juliet.

Kalau diikutkan perasaan mahu saja penulis menghabiskan masa lebih lama di Verona tetapi disebabkan terikat dengan komitmen lain, beratnya hati meninggalkan Tapak Warisan Dunia UNESCO itu dengan harapan dapat kembali bagi menikmati keindahan bandar dan berpeluang menyelami kehidupan masyarakatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:08 AM