GULAI ketam masak lemak cili padi kegemaran ramai.
IKAN goreng kicap sajian ringkas.
SET menu lengkap pada Isnin.
JULIZA ingin mengekalkan konsep makanan hidang waktu tengah hari.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Hidangan gulai ketam masak lemak cili padi menjadi ‘buruan’ istimewa di Warung Bunian yang terkenal dengan sajian makanan tengah hari ala kampung.

Kuah santan likat, aroma menyelerakan hasil kombinasi rempah seperti bawang merah, bawang putih, halia, kunyit dan serai, serta kemanisan isi ketam membuatkan air liur berkecur untuk menikmatinya.

Mencungkil rahsia keenakan hidangan gulai masak lemak cili api yang menjadi ‘signature’ Warung Bunian, pengurus dan jurumasaknya, Juliza Adnan mengakui tidak menggunakan sebarang rempah rahsia.

“Seperti gulai masak lemak cili padi lain, kita menggunakan ramuan yang sama cuma gaya penyediaan saja berbeza.

“Sebagai tukang masak lauk-pauk utama ini, kita menggunakan banyak cili padi untuk memastikan kepedasannya.

“Gulai ketam masak lemak cili padi ini adalah menu paling popular yang menjadi kegemaran ramai, terutama pelanggan tetap.

“Dalam sehari, kita menggunakan sekurang-kurangnya 12 kilogram ketam dan paling banyak, 30 kilogram bergantung pada tempahan pelanggan pada hari tertentu.

“Selain itu, saiz ketam yang dihidangkan adalah sederhana mengikut bekalan yang kita terima segar dari laut,” katanya ketika ditemui.

Warung Bunian adalah gelaran diberikan pengunjung sejak lima tahun lalu sinonim dengan Warung Tapak Sulaiman ini gara-gara kedudukannya tersorok di Jalan Jamaludin, Kampung Sungai Merab, Kajang, Selangor.

Menariknya, Warung Bunian menyajikan hidangan makan tengah hari mengikut set menu lauk tertentu pada hari berlainan pada harga berpatutan.

Kata Juliza, menu gulai ketam masak lemak cili padi hanya disajikan pada Isnin, Khamis dan Sabtu, manakala gulai udang masak lemak cili padi pada Selasa, Rabu pula gulai ayam masak lemak cili padi manakala gulai daging masak lemak cili padi pada Jumaat.

Set menu ini didatangkan bersama hidangan ikan goreng, ayam gorang, ikan masin, sayur-sayuran dan sambal belacan.

Menurut Juliza lagi, Warung Bunian memperkenalkan konsep makan tengah hari hidang yang menjadi tradisi masyarakat Melayu sejak dulu.

Warung yang boleh memuatkan 120 pengunjung beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 pagi untuk sarapan, manakala 11.30 pagi hingga 2 petang bagi makan tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:11 AM