BEBERAPA peserta merakam kenangan secara berkumpulan.
GELAGAT peserta kategori santai.
ATLET berbasikal negara, Mohd Fadhli Zonis bergambar bersama peserta kategori santai.
GELAGAT peserta sepanjang kayuhan.
BEBERAPA peserta bersorak ketika aksi mereka dirakam.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my

Sukan basikal tidak sekadar menyihatkan jasmani malah diperakui ‘menyuburkan’ rohani. Itu yang dibuktikan 400 peserta Kayuhan Amal JICC 2017 baru-baru ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kerayong di Klang, Selangor dalam usaha mengumpul dana bagi mengisi Tabung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Dianjurkan oleh Kelab Berbasikal Jalan Iskandar (JICC) dengan kerjasama PIBG SK Bukit Kerayong, kayuhan amal berkenaan dipecah kepada dua kategori iaitu kategori basikal lasak bagi yang ingin menguji serta mencabar keupayaan diri serta kategori santai bagi peserta yang mahu beriadah bersama keluarga.

Bagi kategori lasak Mountain Bike, pelepasan dilakukan seawal jam 8 pagi oleh atlet basikal negara, Mohd Fadhli Zonis dan membabitkan 300 penyertaan.

Dalam kategori ini, peserta menempuh trek sejauh 17 kilometer (km) melalui kawasan bukit sekitar Kampung Bukit Kerayong, kawasan cerun berbatu, hutan serta ladang kelapa sawit yang memberikan pelbagai bentuk cabaran berbeza.

Biarpun kategori ini juga diadakan secara santai dan tidak membabitkan perlumbaan, ia membolehkan peserta melepaskan ‘ketagihan’ dan merasai nikmat kayuhan lasak dalam suasana santai tanpa ada persaingan.

Ia sekali gus menjadi tempat bagi peserta khususnya yang baru berjinak-jinak dalam sukan basikal lasak untuk menguji keupayaan diri serta menimba pengalaman.

Kategori santai pula dilepaskan kira-kira 20 minit kemudian dan disertai seramai 100 peserta yang melalui laluan bertar sejauh 10km. Kategori ini juga memadai sebagai aktiviti untuk mempererat hubungan kekeluargaan dan dalam kalangan masyarakat sekali gus memupuk aktiviti sihat dalam masyarakat.

Pengarah Program Kayuhan Amal JICC 2017, Azizal Imbi berkata, biarpun aktiviti berbasikal yang diadakan itu berkonsepkan kayuhan amal dan bukan pertandingan bagi menentukan siapa pelumba terbaik, sambutan yang diterima daripada kalangan peminat sukan berbasikal amat menggalakkan.

Katanya, sambutan dalam kalangan peserta menjadi bukti bahawa peminat sukan berbasikal tidak sahaja mahu memenuhi minat masing-masing, sebaliknya turut prihatin dengan keperluan individu, pertubuhan atau organisasi yang memerlukan sumbangan dan dana.

“Kebiasaannya, orang beranggapan sukan berbasikal lebih berupa hobi, sebaliknya kita buktikan hari ini ia lebih daripada itu.

“Aktiviti berbasikal ini boleh menjadi aktiviti bermanfaat bukan saja kepada peminatnya, juga kepada sesiapa saja yang memerlukan bantuan,” katanya.

Azizal berkata, pihaknya berterima kasih dengan sokongan peserta selain kepada pihak penaja seperti Kedai Basikal NanStarway, NS Bluescope Malaysia Sdn.Bhd, Kedai Basikal Sun Huat Resources Kapar, Kilang Sawit Sime Darby Bukit Kerayong, Technizen Malaysia Sdn Bhd, Ahli Majlis N42A MPK, Ono Bundle, KRT Desa Kencana & Desa Baiduri dan Kedai Basikal Cycle88 atas tajaan yang diberikan.

“Alhamdulillah, biarpun program ini hanya berkonsepkan kayuhan amal, sokongan pelbagai pihak amat menggalakan.

“Kita berbanyak-banyak terima kasih pada penaja serta peserta kerana tanpa tajaan serta sokongan mereka, program ini sukar dilaksanakan,” katanya.

Menurut Azizal, sokongan diberikan ini bukti aktiviti berbasikal tidak saja menyatupadukan masyarakat, bahkan menjadi platform terbaik menggerakkan aktiviti amal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:16 AM