PENDUDUK dewasa juga tidak ketinggalan mendengar ceramah kesihatan.
SUKARELAWAN menerangkan kaedah mencuci rambut yang betul.
SUKARELAWAN menunjukkan cara penjagaan gigi.
ORANG kampung melakukan pemeriksaan kesihatan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Seramai 40 penuntut Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) berkolaborasi dengan badan sukarela (NGO) IKRAM Putrajaya menjayakan program komuniti bersama masyarakat Orang Asli Bukit Baja Sepang baru-baru ini.

Projek komuniti itu yang dinamakan Program Ramah Mesra Bersama Orang Asli Bukit Baja itu mendapat sambutan lebih 200 penduduk terdiri daripada kanak-kanak hinggalah warga emas. Fokus utama program kali ini kesedaran aspek kesihatan selain pendidikan golongan itu.

Universiti sokong kerja sosial

Menurut sukarelawan CUCMS Syakirah Abdul Rahman, 40 peserta menyertai program kemasyarakatan ini terdiri daripada ahli Persatuan Kelab Belia Harmoni CUCMS.

“Sebenarnya universiti kami terutama dekan fakulti sangat menyokong serta menggalakkan pembabitan pelajar perubatan dalam program kemasyarakatan.

“Ini bukan pembabitan pertama kami dalam kerja sosial kerana pernah terbabit dengan kerja kemanusiaan di Vietnam, Indonesia dan sebagainya.

“Cumanya untuk komuniti Orang Asli Bukit Baja ialah julung kali dan kami mahu jalinkan hubungan berterusan sekali gus membantu masyarakat ini baik dari segi perkembangan pendidikan mahupun kesihatan.

“Lebih bermakna dalam program sama kami turut berkerjasama dengan badan sukarelawan IKRAM Putrajaya dalam membantu pengurusan dana dan sebagainya,” katanya.

Tambah Syakirah, perkara paling meninggalkan kesan ialah sikap mesra masyarakat berkenaan menerima kehadiran orang luar memberi dorongan lebih kuat untuknya membantu komuniti terbabit.

“Biarpun sibuk dengan kuliah dan sebagainya, itu bukan alasan untuk tidak berbakti mahupun menyumbang kepada masyarakat.

“Setidak-tidaknya memperuntukkan hujung minggu dua tiga jam untuk membantu golongan memerlukan,” katanya.

Mengalu-alukan orang luar

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) Bukit Baja Zainuddin Kurus berkata, kedatangan pihak luar melakukan pelbagai aktiviti bukan saja mendatangkan keceriaan buat penduduk malah memberi ilmu bermanfaat.

“Kampung ini terdiri daripada 87 keluarga dan semestinya penganjuran pelbagai aktiviti mengeratkan lagi hubungan kami dengan masyarakat luar.

“Malah kehadiran pegawai kesihatan termasuk pelajar perubatan membuat pemeriksaan membantu memudahkan kami mendapatkan khidmat perubatan.

“Selain itu anak kampung turut berpeluang mendapat ilmu berdasarkan aktiviti dianjurkan pelajar. Kami berharap ada program berterusan seperi kelas tambahan dan sebagainya membantu anak kampung cemerlang dalam pendidikan,” katanya.

Mahu program berterusan

Sementara itu Yang Dipertua IKRAM Putrajaya Azli Shah Azizan berkata, selain sukarelawan Persatuan Kelab Belia Harmoni CUCMS, program kali ini turut mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Objektif program ini semestinya membantu dalam kemajuan kampung serta penduduknya. Justeru kami memilih dua aspek dalam membantu kampung ini maju iaitu pendidikan dan kesihatan.

“Menerusi maklumat daripada wakil kampung, kami mengetahui masyarakat di sini agak ketinggalan dalam pelajaran. Malah ada antara penduduk dewasa tidak boleh membaca kerana mereka berhenti sekolah seawal umur 12 tahun.

“Justeru saya berharap bermula dengan program ini, usaha berterusan dapat dilakukan dalam membantu penduduk termasuklah kelas tambahan untuk anak kampung agar mereka tidak ketinggalan. Itu kita akan laksanakan bersama penuntut universiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:20 AM