A’IMULLAH lancarkan seleksi ‘Tanah Airku’ tudung bermotifkan peta Malaysia.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Rekaan tudung koleksi pertama Awanscarf diilhamkan menerusi kisah pertemuan pengasas jenama itu, A’imullah Abd Halim dengan seorang pelancong wanita Eropah yang tertarik dengan penampilan masyarakat Melayu Islam mengenakan hijab meskipun dalam cuaca yang panas terik.

Pada awalnya pelancong itu yang bertanya lokasi menarik sambil menanda di atas sekeping peta Malaysia mula berubah topik kepada hasratnya untuk cuba mengenakan hijab pada satu hari nanti.

Bertitik daripada peristiwa itu usahawan berusia 31 tahun itu memulakan langkah berani dengan melancarkan seleksi ‘Tanah Airku’ dengan menampilkan tudung bermotifkan peta Malaysia.

Kata A’imullah, bagi koleksi sulung ada enam pilihan warna yang pasti menggamit perhatian wanita berusia 25 tahun dan ke atas.

“Bagi koleksi awal ini ada enam pilihan warna dan daripadanya dianggap sebagai pilihan ‘colour of the year’ iaitu ‘kuarza mawar’ dan biru lembut manakala empat yang lain ialah hitam, putih mutiara, kuning air dan pudina pastel.

“Perincian tudung ini diserikan dengan kemasan berupa 16 batu kristal mewakili ibu negeri dilawati pelancong terbabit.

“Malah tudung ini didatangkan dengan kotak eksklusif bertemakan peta Malaysia dan origami sebagai penghargaan kepada pelanggan Awanscarf,” katanya.

Meskipun tiada pendidikan formal dalam bidang rekaan fesyen mahupun pengendalian fabrik, pengasas Awanscarf ini amat teliti dengan keinginan pemakai hijab yang mahukan keselesaan ketika menggayakan tudung berkenaan.

“Bagi rekaan tudung ini saya memilih material satin crepe kerana kelebihan material terbabit yang mudah dibentuk selain tidak panas serta tekstur kain selesa digayakan. Saiz selendang ini ialah panjang 180 sentimeter (sm) dan kelebaran 70sm, membolehkan pemiliknya menggayakan pelbagai stail baik labuh, kasual, serban hinggalah gaya ‘chic’ mahupun tampak lebih moden,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 2:18 AM