BELIA Chad di N’Djamena menghabiskan masa lapang pada waktu petang dengan berkumpul di kawasan lapang.
PENDUDUK Chad bergantung pada pam air bagi mendapatkan bekalan air minuman dan memasak.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


Hawa panas menyengat. Itulah sambutan ‘hangat’ diterima penulis tatkala menjejakkan kaki di tanah tandus Republik Chad, Afrika, yang menerima jolokan Jantung Mati Afrika.

Kedudukan geografi negara ini yang terletak bersempadan dengan Gurun Sahara di utara cukup untuk menjawab persoalan mengapa landskap negara ini dipenuhi pasir.

Malah ketika pesawat Ethopian Airlines dinaiki penulis hampir mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hassan Djamous, di ibu negara N’Djamena, hanya kelihatan debu merah dan bukit pasir melatari bandar berkenaan.

Tidak hairan negara di kedudukan keempat termiskin di dunia ini kurang diminati pelancong asing berikutan tiada apa yang menarik untuk dilawati.

Malah sikap dingin pihak berkuasa negara ini yang sentiasa sangsi terhadap ‘orang luar’ terbukti apabila Setiausaha Agung pertubuhan kebajikan Muslim Care Malaysia, Zakaria Latif dikasari sebaik melangkah turun dari tangga pesawat.

Dua anggota keselamatan lapangan terbang lengkap bersenjatakan raifal AK47 merampas telefon pintar digenggam Zakaria tanpa sebarang amaran lisan.

Semuanya berpunca tindakan beliau merakam gambar kenang-kenangan berlatar belakangkan pesawat Boeing 737 yang kami naiki dari Addis Ababa, Habsyah.

Di benak fikiran Zakaria ketika itu hanya memikirkan nasib telefon pintar miliknya yang mengandungi pelbagai maklumat penting selain nombor telefon ramai kenalan dan penderma.

Babak cemas hanya berakhir apabila seorang anggota keselamatan wanita menulis angka AS$100 (RM419) di tapak tangan sebagai syarat ‘pemulangan’ semula telefon pintar yang ditawan.

Jelas ini satu bentuk pemerasan atau perangkap diatur awal untuk mencari wang mudah. Namun apakan daya, kami berada di bumi asing dan lebih memikir soal misi membantu masyarakat Islam di sini.

Tidak terhenti setakat itu, rombongan kami turut berdepan masalah apabila pasport kami ditahan walaupun jelas memiliki dokumen kebenaran memasuki negara itu.

Mujur campur tangan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Universiti Roi Faycal Du Tchad, Dr Mahamat Issa Hassan berjaya menyelesaikan masalah dihadapi sebelum kami dibenarkan meninggalkan balai ketibaan dua jam kemudian.

Sepanjang perjalanan menaiki kereta menuju ke hotel penginapan, wartawan tidak nampak sebarang kewujudan bangunan pencakar langit, kawasan perindustrian mahupun kompleks komersial.

Ibu negara ini kelihatan mundur, tidak terurus dan jauh ketinggalan daripada arus pembangunan.

Apa yang kelihatan hanya deretan bangunan batu usang peninggalan zaman penjajahan Perancis yang dipalit kotoran debu merah.

Sesekali kelihatan wanita tempatan duduk di bahu jalan sambil menjaja ikan air tawar yang dilonggokkan begitu sahaja di atas kotak kayu.

Tiada kotak khas atau ais diletakkan di atas ikan dijual. Penulis yakin ikan berkenaan pasti tidak sihat dimakan melihat kepada aspek kebersihan di lokasi itu.

Malah sebelum penulis menjejakkan kaki di sini, ingatan awal diberikan berhubung perlunya mengambil vaksin sebagai persediaan menghadapi penularan 18 penyakit maut di negara itu.

Ini antara punya rata-rata rakyat negara ini yang dihambat kebuluran hanya mempunyai jangka hayat sekitar 50 tahun susulan peningkatan wabak malaria, demam denggi, Japanese Encephalitis, demam kuning dan penyakit pernafasan seperti meningitis.

Menelusuri ibu negara N’Djamena, penulis hanya melihat kedai kecil selain binaan masjid yang mewakili majoriti penduduk Islam negara bekas jajahan Perancis ini.

Kereta dan motosikal tampak bergerak lesu di jalanan yang tidak diselenggara baik. Tiada langsung kesesakan lalu lintas berlaku.

Mungkin cuaca panas menjangkau 40 darjah Celsius menyebabkan penduduk mengelak daripada terdedah terik mentari.

Jurutera Teknologi Maklumat Kementerian Teknologi Maklumat Republik Chad, Youssouf Mahamat Koukou yang menemani wartawan berseloroh memberitahu kemiskinan menjadi punca rakyat Chad mempunyai umur yang pendek.

Tambahnya, Republik Chad satu-satunya negara di Afrika yang tidak memiliki pelabuhan dan lautan. Oleh itu sukar mengimport masuk barangan keperluan dari luar apatah lagi mendapatkan bekalan hidupan segar dari laut.

Menurutnya, isu kemiskinan dan pembangunan masih gagal ditangani pemimpin apatah lagi perkara paling asas iaitu kemudahan infrastruktur seperti elektrik dan air terawat.

Malah penulis kaget apabila penduduk Chad amat meminati beras Siam yang menjadi antara makanan ruji mereka selain daging lembu dan roti Perancis.

Ungkapan ‘segalanya mahal di sini’ terbukti apabila kamar hotel setaraf rumah tumpangan di Brickfields, Kuala Lumpur didiami penulis mengenakan caj sewa AS$120 (RM503) untuk semalaman.

Tanpa kemudahan pemanas air serta kelengkapan kerusi patah, caj ini dianggap tidak munasabah jika diambil kira kadar sewa tanpa bufet sarapan.

Selain misi menyalurkan bantuan Muslim Care Malaysia kepada penduduk di pedalaman Chad, pembinaan masjid di bandar Mao hasil kutipan dana rakyat prihatin Malaysia, wartawan turut berkesempatan menjenguk pasar besar di N’Djamena dipanggil ‘Grand Marche’.

Di sini pelbagai barangan basah, pakaian dan perkakasan elektronik buatan China mudah diperoleh. Amaran diberikan supaya wartawan tidak mengambil sebarang gambar menggunakan telefon pintar andai tidak mahu masalah berulang.

Di sana sini ada kanak-kanak malang yang meminta sedekah dengan menadah mangkuk kecil. Wajah kemiskinan berada di mana-mana hingga mampu meruntun ‘orang luar’ yang melihat.

Ternyata usaha Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wajihan membantu rakyat Islam Chad wajar disokong ramai pihak jika melihat sendiri pada aras kedaifan dialami rakyat negara ini.

Malah usaha Muslim Care membina puluhan pam air bagi kemudahan masjid ke negara itu pastinya membawa pulangan pahala kepada dermawan di tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 2:21 AM