BERGANDING bahu melapah dan memotong daging untuk dimasak dan diagihkan kepada penerima.
KAKITANGAN Pharmaniaga pelbagai peringkat merakam kenangan bersama anak yatim dan fakir miskin selepas majlis korban.
GELAGAT kakitangan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Saban tahun tanggal 10 Zulhijah, umat Islam akan menyambut Aidiladha dan satu keistimewaan sambutan ini adalah ibadat korban dengan upacara menyembelih binatang ternakan yang sah dijadikan korban seperti unta, lembu, biri-biri, kambing atau kerbau.

Ibadat korban amalan yang sangat dituntut dalam Islam bertujuan mendekatkan diri pada Allah bermula pada hari Aidiladha iaitu 10 Zulhijah dan tiga hari tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Upacara korban juga sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail, kerana melaksanakan perintah Allah. Bagaimanapun, peristiwa itu sekadar ujian Allah kepada mereka berdua.

Bagi mengenang semula pengorbanan dua beranak itu, syarikat farmaseutikal terbesar di Malaysia, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) melaksanakan ibadat korban di ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor, secara gotong-royong, baru-baru ini.

Seramai 180 kakitangan menyertai aktiviti yang masuk tahun kelima dengan mengorbankan 12 lembu dan dagingnya selain dimasak turut diagihkan kepada sembilan rumah kebajikan, tahfiz, 15 fakir miskin serta kakitangan.

Perkenal skim potongan gaji

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran berkata, pihaknya memperkenalkan skim potongan gaji untuk ibadat korban bagi menggalakkan kakitangannya di semua peringkat melaksanakan ibadat berkenaan setiap tahun.

Katanya, Pharmaniaga sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan sendiri dengan memperkenalkan skim itu bagi membantu kakitangan menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim yang baik.

“Skim ini adalah cara mudah untuk kakitangan berkenaan menyimpan wang untuk melaksanakan ibadat korban sempena Aidiladha.

“Tidak semua orang mampu untuk mengeluarkan belanja sekali gus membabitkan kos antara RM550 hingga RM650 bagi satu bahagian seekor lembu.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan daripada kakitangan yang menggunakan peluang disediakan syarikat ini sepenuhnya. Malah, saya bersyukur kerana bilangan penyertaan bertambah setiap tahun sejak skim diperkenalkan lima tahun lalu dan ini menunjukkan tahap kesedaran melaksanakan ibadat korban semakin meningkat,” katanya.

Katanya, program berkenaan juga satu kaedah syarikat melaksanakan aktiviti pembabitkan kakitangan (employee engagement) yang menjadi teras pembangunan modal insan Pharmaniaga.

Ibadat korban didik kerjasama

Bagi Pengerusi Surau As-Syifa Pharmaniaga, Muhammad Fauzi Abdul Hamid, 50, penganjuran majlis korban itu membolehkan pihak syarikat menyuburkan nilai dan semangat ukhuwah dalam diri kakitangan khususnya umat Islam, di samping meningkatkan hubungan baik di antara kakitangan dan pihak pengurusan.

“Upacara dimulakan jam 8 pagi dengan mengorbankan sembilan lembu, manakala tiga lembu lagi disedekahkan kepada masjid di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Daging korban dilapah, dipotong dan sebahagiannya dimasak secara gotong-royong. Aktiviti gotong-royong bukan sahaja menyemai semangat kerjasama tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan kakitangan tanpa mengira pangkat,” katanya.

Beliau yang juga Pengurus Besar Kewangan Pharmaniaga berkata, segelintir kakitangan turut membawa bersama anggota keluarga mereka dan secara tidak langsung majlis sebegini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga dan akan memberi kenangan yang amat bermakna kepada anak-anak.

Hikmah ibadat korban

Pegawai analisis makmal, Nurul Shahirah Hasan, 24, berkata ibadat korban diadakan bersempena peristiwa Nabi Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail yang begitu banyak menyumbang pengajaran sekiranya ia dihayati.

“Ia tidak hanya memupuk semangat pengorbanan dalam diri, bahkan juga hubungan sesama insan dalam masyarakat. Ibadat korban ini juga peluang baik untuk kita berkongsi nikmat dengan orang lain.

“Antara hikmat ibadat ini selain mengingati kisah Nabi Ibrahim yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail sebagai korban, ia melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah untuk orang lain.

“Malah, hikmah korban termasuk memupuk sikap peduli dan prihatin terhadap masyarakat dengan mengagihkan sebahagian daging korban kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 2:40 AM