FAIZAL membantu Teh mengenakan kasut khas terbabit.
CERIA aksi peserta mengikuti kelas Kangoo Jump.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Lencun dengan peluh meskipun tidak sampai lima minit melakukan senaman ringan menggunakan kasut ‘lantun’ (rebound shoe) ketika menyertai aktiviti Kangoo Jump anjuran My Kangoo Club di Hotel Element Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kasut itu dilengkapi teknologi seperti spring di bahagian tapak mengundang perasaan gementar kerana pemakainya perlu mengimbangkan tubuh selain perlu mengelak terjatuh.

Setelah berjaya mengimbangi tubuh, tidak puas pula mengenakan kasut berkenaan kerana keseronokan melompat tinggi seolah-olah mengimbau keseronokan zaman kanak-kanak.

Badan seakan-akan terapung dan melambung-lambung setiap kali cuba melompat menggunakan kasut lantun seperti mana dirasai ketika melompat di atas tilam spring mahupun trampolin.

Begitulah uniknya mengenai aktiviti lompat mengenakan kasut Kangoo Jump yang boleh dilihat sebagai senaman baru yang boleh disertai bersama keluarga serta teman.

Lebih mengujakan beberapa gerak menarik ditunjukkan jurulatih aktiviti, Oksana Kopyl berjaya diikuti penulis hinggakan tempoh sejam bersama komuniti kecil itu dirasakan terlalu pantas.

Kata Oksana, sejak memperkenalkan aktiviti itu kepada orang ramai terutama peminat aktiviti kecergasan, ramai tertarik mengikuti bengkel lompatan Kangoo Jump.

Katanya, kelebihan aktiviti melompat menggunakan kasut berkenaan pelbagai terutama terhadap kesihatan.

“Mungkin ramai menyangkakan untuk melakukan aktiviti ini memerlukan gerakan tertentu mahupun latar belakang akrobatik dan sebagainya, sebaliknya orang biasa mahupun mereka baru cuba melompat mampu mengendalikan kasut terbabit.

“Tidak dinafikan awal mengenakannya pemakai sukar berjalan mahupun mengatur langkah, tetapi dengan tip serta mengikuti bimbingan saya mengenai kaedah mengimbangi badan, tidak sampai seminit mereka boleh berjalan sendiri tanpa perlu dipimpin.

“Penting mereka perlu mencuba serta mengikuti kelas dianjurkan My Kangoo Club. Selepas itu mereka juga boleh melakukan pergerakan lebih rumit termasuk senaman mahupun gerakan seperti tarian aerobik,” katanya.

Tambah Oksana lagi, kelebihan kasut ini ialah fleksibiliti gerakan yang boleh dilakukan.

“Daripada berjalan, berlari, melompat hinggalah kepada menari semua boleh dilakukan menggunakan kasut berkenaan. Malah pengalaman saya sendiri, kakak ipar yang juga seorang doktor dan ibu kepada empat anak turut memakai kasut berkenaan ketika melakukan kerja rumah.

“Memadai lima hingga 15 minit melakukan lompatan ringkas serta rutin mudah, dia tidak perlu berlari mahupun meluangkan masa untuk mengunjungi pusat kecergasan.

“Jadi aktiviti ini selain perasaan gembira menerusi keseronokan melompat malah ia membantu pemakainya menjaga kesihatan,” katanya.

Lebih menarik mengenai aktiviti melompat menggunakan kasut lantun ini ialah pesertanya tidak akan berasa lenguh mahupun sengal setelah melakukan senaman dalam tempoh panjang.

Pengalaman dikongsi Faizal Mohd Ali, yang sudah mencuba aktiviti Kangoo Jump sejak awal tahun lagi. Dia turut aktif mengikuti pelbagai aktiviti kecergasan mula jatuh cinta dengan acara melompat kasut lantun sejak awal tahun menerusi kenalannya.

“Saya suka mencuba pelbagai aktiviti kecergasan tak kira larian, gimnasium dan sebagainya. Namun setelah mencuba aktiviti Kangoo Jump rasanya ini kaedah terbaik menjaga kesihatan.

“Saya juga selidik mengenai ‘rebound shoe’ dan mendapati kasut berkenaan direka untuk membantu atlet sakit mahupun tercedera. Malah peralatan ini mampu menyerap 80 peratus hentakan mahupun tekanan pada badan setiap kali bersenam membantu mengurangkan kesakitan berpunca daripada aktiviti kecergasan. Itu antara pengalaman saya sendiri setelah mencuba sendiri aktiviti Kangoo Jump,” katanya.

Jurulatih yoga Teh Fui Ping mengakui dia teruja dengan sebarang aktiviti kecergasan lalu mencuba aktiviti berkenaan selepas dipelawa Oksana.

“Memang ia menarik dan berlainan sama sekali dengan mana-mana aktiviti kecergasan pernah saya sertai. Melihat Oksana memakai serta menggayakan pelbagai gerakan menggunakan kasut terbabit membuatkan saya tertarik.

“Lihat sungguh mudah tetapi selepas mencuba timbul pelbagai perasaan. Mulanya sukar kerana kasut berkenaan memaksa pemakainya mencari keseimbangan diri. Paling mudah ialah pemakainya perlu sentiasa bergerak. Malah berdasarkan tunjuk ajar jurulatih setiap kali hendak terjatuh saya hanya perlu gerak kaki ke belakang.

“Kemudian masuk ke tahap gerakan aerobik dan langkah senaman, aktiviti ini makin menyeronokkan dan rasa penatnya mengalahkan senaman kardio meskipun tidak sampai 15 minit menggunakannya.

“Bermakna senaman ini membantu membakar kalori banyak. Saya mendapat tahu jika sejam melakukannya, ia mampu membakar sehingga 1000 kalori.

“Semestinya ia senaman menarik dan bercadang untuk menyertai bengkel My Kangoo Club pada sesi lain untuk menguasai gerakan mahupun rutin senaman boleh dilakukan menggunakan kasut lantun terbabit,” katanya.

Buat pengurus pusat kecergasan terbabit Yazliana Yassin, aktiviti Kangoo Jump ini wajar disertai mereka mahu menjaga kesihatan dengan kaedah unik.

“Selaku peminat kecergasan semestinya saya teruja dengan aktiviti ini yang boleh dilihat satu kaedah baru menjaga kesihatan. Malah mengurangkan kesakitan selepas bersenam semestinya membantu mereka suka bersenam memanjangkan tempoh aktiviti kecergasan mereka.

“Selain itu cara menjaga serta mengendalikan kasut berkenaan tidak rumit dan mempunyai aspek kebersihan. Saya dimaklumkan kasut seperti but itu boleh dicerai dan dicuci. Malah apabila berlaku kerosakan di sesetengah bahagian kasut, bahagian itu boleh diganti tanpa memerlukan keseluruhan set ditukar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 2:52 AM