ANTARA burger yang kaya dengan lelehan keju di Grellas.
ANTARA burger yang kaya dengan lelehan keju di Grellas.
SALMON panggang bagi yang ingin makan secara sihat.
SALMON panggang bagi yang ingin makan secara sihat.
SET daging, ayam dan kambing panggang.
SET daging, ayam dan kambing panggang.
SET OMG optimus untuk yang berselera besar.
SET OMG optimus untuk yang berselera besar.
 FAIZAL menunjukkan menu Giant Blamb burger dan set grill OMG.
FAIZAL menunjukkan menu Giant Blamb burger dan set grill OMG.
Mohd Azam Shah Yaacob


Diperap dengan campuran 13 herba Itali, rempah Asia, madu dan tiga jenis bawang untuk tempoh tertentu menjadi rahsia keunikan rasa makanan barat (western food) ditawarkan di Restoran Grellas yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur ini.

Kerana keunikan itu jugalah, Grellas boleh dianggap antara lokasi terbaik menghidangkan menu barat dengan harga berpatutan.

Malah, bagi penggemar menu barat, mereka pastinya teruja kerana di restoran ini, saiz hidangan ditawarkan membuat sesiapa saja tersandar puas kekenyangan.

Itu belum lagi saat pelanggan keliru untuk memilih menu berikutan di restoran ini, terdapat 15 pilihan set burger, 11 pilihan stik, 12 pilihan pasta dan spageti selain 8 pilihan hidangan barat yang boleh dimakan bersama nasi.

Setiap menu juga dimasak mengikut tempoh masa tertentu bagi memastikan juadah seperti daging lembu, kambing atau ayam yang dipanggang kekal berjus dan boleh dirasai dalam setiap gigitan.

Pengarah Urusan Grellas Holdings (M) Sdn Bhd Faizal Esa berkata, Grellas ditubuhkan berikutan minat keluarganya yang suka berkumpul dan memasak hidangan barbeku.

Katanya, atas minat itu, terciptalah resipi perapan istimewa milik keluarganya yang menggunakan 13 herba dan rempah Asia berkenaan.

“Disebabkan itu, setiap juadah di Grellas akan diperap terlebih dulu dengan perapan istimewa ini. Uniknya, tindak balas perapan ini menghasilkan rasa berbeza bagi setiap hidangan daging lembu, ayam, kambing dan ikan yang dimasak,” katanya.

Menurut Faizal, hidangan di Grellas disediakan secara segar dan bukan berkonsep makanan segera yakni tidak melalui proses pemanasan semula.

Katanya, atas faktor itu, pelanggan perlu menunggu antara 15 hingga 20 minit untuk mendapatkan hidangan terbaik mereka.

“Lazimnya restoran makanan barat akan menghidangkan menu yang dipanaskan semula bagi menjimatkan masa memasak, tapi di Grellas, kami memastikan semuanya dimasak berdasarkan permintaan pelanggan sahaja,” katanya.

Di Grellas, menu ditawarkan bermula dengan harga serendah RM12.90 hingga RM55.90 yang menggabungkan pilihan set untuk 2 hingga 3 orang.

Bagi pelanggan yang sukakan keju, mereka juga boleh membuat permintaan untuk menambah bahan berkenaan dalam hidangan dengan kadar caj tambahan berbeza.

Tidak lengkap dengan hidangan penghilang dahaga, Grellas turut menyediakan 15 pilihan Ice blended, jus dan minuman panas seperti kopi, coklat dan teh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:01 AM