PELAJAR bergambar bersama kolam berjaya disiapkan.
Nurul Husna Mahmud


Seramai 40 pelajar Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) bertungkus-lumus menyiapkan kolam berukuran 400 kaki (121.92 meter) di Berjaya Times Square Kuala Lumpur (BTSKL) baru-baru ini.

Kolam menampilkan simbolik binatang suci bagi masyarakat Hindu iaitu burung merak turut mendapat bantuan 35 anak yatim Pertubuhan Anak Yatim dan Bodhi Homecare Centre.

Selain kolam, ada juga mural turut menampilkan­ tema sama sekali gus menandakan hiasan tradisi bertemakan ‘The Hues of Diwali’ (Warna-warni Diwali) itu memberi makna kepada kemeriahan keraian Deepavali bakal diraikan penganut Hindu di negara ini pada 18 Oktober ini.

Suntik semangat muhibah

Pengarah Eksekutif Berjaya Times Square Koh Huey Min yang merasmikan kempen ‘The Hues of Diwali’ berkata, pihaknya bekerjasama dengan MIA dan rumah kebajikan Pertubuhan Anak Yatim serta Bodhi Homecare Centre.

Katanya, sukarelawan terdiri daripada pelajar MIA menyiapkan dekorasi tradisi itu dibantu penghuni rumah kebajikan terpilih di pusat beli-belah sebagai meraikan kedatangan perayaan Deepavali.

“Kerjasama kami bersama MIA sudah berlangsung empat tahun membabitkan pelbagai projek kesenian termasuk perhiasan mahupun dekorasi pelbagai perayaan dan keraian di Malaysia.

“Menariknya mengenai Deepavali ia seperti perayaan lain, BTSKL tidak mahu ketinggalan meraikannya dengan menyuntik semangat muhibah menerusi aktiviti menyempurnakan kolam serta seni mural ‘The Hues of Diwali’.

“Kalau lihat pada penyertaan hari ini, pelbagai kaum bekerjasama menyiapkan kolam dan tidak semestinya membabitkan penganut Hindu sahaja. Hari ini semangat 1Malaysia dapat dilihat apabila semua kaum mengambil bahagian dalam menyiapkan hiasan beras selain mural sempena kempen Deepavali BTSKL.

“Selain projek hiasan ini, kami turut menampilkan tarian tradisi kepada pengunjung pada 14 dan 15 Oktober. Istimewa pada mereka yang berbelanja RM100 dan ke atas pada hari sama, mereka boleh mendapatkan hiasan inai pada tangan secara percuma,” katanya.

Dedah kerjaya seni

Bagi Ketua Jabatan Pembangunan ‘Outreach’ MIA Lee Ai Lin, acara menghasilkan kolam dan mural ketika pelancaran kempen Diwali di BTSKL bukan sekadar aktiviti seni malah satu bentuk kerja komuniti dijalankan penuntut MIA.

“BTSKL sudah bekerjasama dengan MIA selama empat tahun dan sepanjang empat tahun pelbagai bentuk projek dan program disertai mereka.

“Sebelum ini masih ramai terutama orang awam tidak pandang serius mengenai fungsi serta kemampuan pelajar kesenian.

“Jadi apabila kami terbabit dengan agensi korporat seperti ini bukan saja pelajar malah orang ramai faham mengenai kerjaya mahupun masa depan bidang seni.

“Kebaikan lain, aktiviti luar seperti ini berbanding sesi pembelajaran kelas mereka boleh melihat realiti bidang kerjaya seni selepas tamat pengajian kelak.

“Malah sepanjang projek ini, saya hanya memerhati dan memantau, manakala semuanya dijalankan pelajar sendiri. Proses itu penting kerana ia memberi pengalaman, skil serta ilmu yang mereka perlukan,” katanya.

Pengalaman baru pelajar

Sementara itu pelajar Nurmata Hikmah Tasmono, 22, berkata dia gembira dapat menyertai projek berkenaan kerana didedahkan dengan pengalaman baru.

“Ini kali kedua saya terbabit dengan projek luar selepas Asia Art baru-baru ini sempena sambutan kemerdekaan. Bagi saya meskipun program ini berkenaan dengan seni tetapi tugasan diberikan bukan mudah.

“Kami belajar mengenai medium serta material baru. Maklumlah kolam ialah seni tradisi masyarakat India dan menggunakan beras berwarna-warni.

“Kami mengambil masa tiga hari untuk menyelesaikan kolam, sementara mural pula disiapkan ketika pelancaran kempen ‘The Hues of Diwali’. Mencabarnya mengenai mural ialah kami terpaksa memikirkan material warna sesuai diletakkan terhadap permukaan kertas mural kami gunakan.

“Selain itu aktiviti ini bermotifkan komuniti apabila membabitkan kerja seni bersama orang awam menjadikan ia unik. Harap lebih ramai organisasi atau syarikat korporat menganjurkan program sebegini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 3:51 AM