SESI memanaskan badan.
Nurul Husna Mahmud

Rentak permainan laju selain perlu menampilkan ‘trick’ sempurna nyata menguji skil serta kemahiran peluncur papan selaju yang menyertai acara Grazrootz Fest 2017 di Floria Putrajaya.

Tambah pula acara dianjurkan secara terbuka di mana pemain pro, amatur mahupun baru berentap secara langsung nyata menyediakan platform buat komuniti baru mahupun lama dalam sukan lasak terbabit mendorong diri masing-masing ke tahap tertinggi.

Dalam acara ini terdapat tiga gelanggang dengan duanya membabitkan acara ‘battle’ antara komuniti manakala gelanggang besar untuk acara utama iaitu membabitkan pesaing individu.

Malah, menurut Pengarah Program Grazrootz, Abdulazeez Wan Ruslan, di sebalik penganjuran pertandingan menghimpunkan pemain papan selaju seluruh negara, acara itu juga berjaya melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records menerusi acara terbesar menghimpunkan peluncur papan selaju dengan jumlah kehadiran 586 pemain.

“Kami menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada komuniti sukan papan selaju selain tajaan pihak tertentu banyak membantu kami menjayakan acara ini. Tidak ketinggalan kerjasama pihak berkuasa tempatan iaitu Perbadanan Putrajaya membenarkan kami menggunakan ruang bagi kemudahan pembinaan gelanggang untuk acara ini.

“Kami pernah menganjurkan pertandingan seumpama ini di dua lokasi iaitu Sungai Besi dan Seri Kembangan tetapi di Putrajaya ini kami tampilkan kelainan apabila trek dibina ini menampilkan format atau standard terbaru bagi acara halangan.

“Semestinya buat peminat sukan ini, mereka teruja dapat bersaing serta berasa sendiri pengalaman menggunakan gelanggang menampilkan standard terkini dalam sukan lasak ini. Pembinaan gelanggang ini penting dalam pendedahan teknik mahupun cabaran terbaru memastikan peluncur tempatan boleh meningkatkan kemahiran mereka dalam sukan lasak ini,”katanya.

Cabaran buat penganjuran pertama Grazrootz Fest pada skala besar, Azeez berkata, dia tidak menafikan pihaknya bergelut dengan isu bajet sehingga terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk acara ini.

“Mengenai acara dan ‘ramp’, kami mendapat komen memberangsangkan dan semestinya semua kesukaran dilalui ketika persiapan dijalankan sejak Mac lagi tidak sia-sia apabila rata-ratanya mereka gembira kami menganjurkan pertandingan ini.

“Biarpun ada kala terpaksa menggunakan duit sendiri memastikan persiapan mengikut perancangan, saya berhasrat tahun akan datang kami dapat menganjurkan acara lebih meriah. Kalau mengikut perancangan awal, kami mahu anjurkan secara liga iaitu tiga hingga empat kali setahun. Namun, kekangan faktor teknikal memaksa kami panjangkan tempoh itu ke tahun depan. Kalau tiada aral, seterusnya kami herhasrat untuk ke Kuantan pula,” katanya.

Secara rasmi, 80 penyertaan didaftarkan untuk pertandingan bagi LSK dan bagi kategori ‘Community Battle’, 133 peserta dalam disiplin ‘Battle Grind’ serta 58 pemain bagi slot ‘Miniramp’.

Gelaran LSK berjaya dimenangi peserta Kuala Lumpur, Fikri Fauzi selepas melalui beberapa siri penilaian. Bagi disiplin LSK, setiap pemain perlu melepasi dua peringkat penilaian yang mana mata daripada dua pusingan itu dikumpul menentukan pemenang.

Peringkat pertama memerlukan setiap pemain melengkapkan dua set ‘run’ selama 60 saat sambil menghasilkan seberapa banyak ‘trick’ baik. Dalam peringkat kedua pula peserta diberi peluang melakukan lima ‘trick’ terbaik untuk dinilai juri.

Kata Fikri, dengan format penilaian terkini selain standard gelanggang yang baru, dia berpeluang beraksi secara profesional. Bagi pemain tempatan sepertinya pengalaman itu penting untuk pendedahan cara permainan peringkat antarabangsa.

“Setiap pusingan saya lalui ada baik dan buruknya buat saya. Pusingan pertama ia menguji konsistensi manakala pusingan kedua mengenai pemilihan pemain dalam ‘trick’ dipersembahkan. Bagi saya, kedua-duanya perlu saya kuasai supaya menepati standard diguna pakai pertandingan antarabangsa.

“Trick paling baik saya berjaya buat ketika pertandingan antaranya ‘Crooked Grind’, ‘360 Flip’ dan ‘Backside Lipslide’. Pendapat peribadi sepanjang empat tahun dalam sukan ini ‘Ollie’ rutin paling susah dan berharap untuk perkemaskan lagi ketika latihan,” katanya.

Dalam senarai pesaing bagi kategori LSK, kelibat naib johan Mohd Fikry Zulkifly atau dikenali dengan gelaran ‘Usher’ paling memberi saingan kepada pemain berusia 19 tahun itu.

Namun, bagi Fikry, dia melihat semua peserta mempunyai potensi dan kekuatan tersendiri yang memerlukan dia bersaing dengan serius sepanjang perlumbaan.

“Meskipun saya sudah berkecimpung sejak 1994 lagi, dari segi komitmen terhadap latihan itu cabaran buat saya. Maklumlah saya sudah berkeluarga dan mempunyai kerjaya. Jika ada kelapangan barulah pergi ke Kiara Skatepark Kuala Lumpur untuk latihan.

“Kalau hendak kata saya ada kelebihan mungkin dalam pertandingan ini semua mempunyai peluang lebih kurang sama bergelar pemenang. Cabaran saya kali ini ditambah dengan keadaan skatepark LSK menurun, saya perlu cepat sesuaikan diri ketika sesi latihan. Namun pada aspek halangan yang ada, saya berpuas hati dengan trek berkenaan.

“Dengan standard terbaru diperkenalkan penganjur, di sini penguasaan ‘trick’ amat diperlukan dan saya rasa ia lebih teknikal selaras dengan piawai sukan ini pada tahap antarabangsa. Tentu saja selaku peluncur berpengalaman saya berharap dengan pertandingan ini dapat meningkat skil saya sekali gus membantu pembabitan dalam peringkat lebih tinggi seperti World X Games,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 4:59 AM