MENGENAKAN baju warna sedondon ketika konvoi.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Seramai 20 peminat sukan berbasikal berpeluang mengikuti acara kayuhan santai menyusuri empat kawasan menarik sekitar Kuala Lumpur menerusi acara Pantai Sentral Park Fun Ride, baru-baru ini.

Program anjuran IJM Land Pantai Sentral Park bukan saja memberi penekanan mengenai gaya hidup sihat, malah membuka mata mengenai aktiviti kayuhan boleh dilakukan di kawasan metropolitan menerusi kemudahan pembangunan terancang.

Perjalanan memakan masa kira-kira sejam itu menyaksikan setiap peserta melalui perjalanan melebihi 10 kilometer bermula dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park menuju ke destinasi popular Menara Berkembar Petronas (KLCC), Dataran Merdeka, NU Sentral, Mid Valley dan berakhir di Galeri ICE, Pantai Sentral Park, Pantai Dalam.

Pengurus Pemasaran dan Jualan Pantai Sentral Park Grace Foo berkata, program komuniti terbabit secara tidak langsung memberi gambaran mengenai kepentingan memilih lokasi kediaman.


RAKAM gambar di Galeri Ice, Pantai Sentral Park.

Katanya, mereka merujuk kepada konsep teras nilai hartanah yang memberi penekanan tiga elemen iaitu ‘People, Planet & Priority’ sebagai panduan dalam setiap projek pembangunan kediaman mahupun komersial dilaksanakan IJM Land.

Begitu juga dengan projek pembangunan terkini iaitu Pantai Sentral Park terletak di kawasan ‘titik panas segi tiga emas’ semestinya lokasi sesuai untuk didiami sesuai dengan keperluan masyarakat mahukan kediaman di kawasan strategik.

Selain seni bina moden, kata Grace, permintaan masyarakat mahukan setiap pembangunan mengambil kira fasiliti serta persekitaran damai dan tenang sesuai buat seisi keluarga.

“Harapan IJM Land menerusi program kayuhan santai ini memberi refleks kepada gaya hidup yang penduduk bakal nikmati menerusi hasil pembangunan meliputi kediaman mahupun komersial di Pantai Sentral Park.

“Mereka bukan saja dapat menikmati gaya hidup moden iaitu lokasi di tengah bandar memberi kemudahan pengangkutan dan pusat beli-belah mahupun kesihatan, antara perkara lain ditimbang penduduk adalah gaya hidup sihat serta hijau.

“Penduduk mahu menikmati kehidupan bersama keluarga, selain bekerja dalam persekitaran lebih menarik seperti jalan dan taman landskap yang menghijau.

“Dengan kayuhan ini, IJM Land memberi pendedahan awal mengenai suasana dinikmati bakal penduduk mendiami kawasan Pantai Sental Park apabila siap nanti,” katanya.

Buat peserta kayuhan Pantai Sentral Park Fun Ride, Sin Tai Lim menyifatkan biarpun ia hanya acara santai tetapi apabila berkonvoi dalam satu kumpulan besar ke lokasi terkenal ia satu pengalaman baru buatnya.


MERAKAM gambar di sekitar laluan utama Kuala Lumpur.

“Sepanjang kayuhan ini, perasaan saya seronok dan teruja dapat berkonvoi bersama rakan. Kami mengenakan pakaian warna sepadan, selain kibaran bendera menemani sepanjang perjalanan kami.

“Malah detik paling manis menjadi ingatan dalam program ini ialah deringan loceng basikal setiap kali kami tiba di destinasi perhentian.

“Jujur saya katakan kayuhan seperti ini menjadi menarik apabila kami kayuh dalam satu kumpulan.

“Ia menerbitkan semangat persaudaraan dan kerja berpasukan kerana kami perlu bergerak sekelompok dari satu tempat ke tempat lain. Kami saling menjaga antara satu sama lain. Itu membuatkan kayuhan dan acara seperti ini wajar dianjurkan lagi,” katanya.

Tambah Sin, dia menghargai keprihatinan pemaju seperti IJM Land mengambil inisiatif memperkenalkan kemudahan laluan berbasikal dalam pembangunan kawasan bandar dan diharap meluaskan jaringan laluan itu sebagaimana kemudahan dinikmati bandar maju di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 2:11 AM