Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


Berada selama 45 ke 60 minit di dasar laut bukan mudah dan tidak selesa seperti di daratan. Perlu berperang dengan tekanan, selain bergantung sepenuhnya terhadap alat SCUBA (Self-Contained Underwater Breathing Apparatus) untuk kekal lama di dasar.

Terdapat risiko perlu dihadapi penyelam dan paling diberi perhatian penyakit nyah tekanan (DCS) atau dekompresi, sejenis gangguan fisiologi disebabkan penurunan tekanan atmosfera terlalu cepat.

Perlu diketahui bahawa tekanan di dasar laut jauh lebih tinggi berbanding di permukaan dan penyelam akan bernafas dengan udara mampat mengandungi 79 peratus nitrogen dan 21 peratus oksigen. Malah, tekanan tinggi boleh menyebabkan gas nitrogen larut ke dalam tisu tubuh dan darah penyelam.

Jadi, lebih lama dan lebih dalam selaman seseorang, lebih banyak gas nitrogen larut. Disebabkan itu, penyelam perlu mahir menguasai teknik selaman yang betul dan wajib mematuhinya, sama ada seseorang itu bergelar amatur atau profesional.

Namun, sudah namanya penyelam dan berlesen pula, risiko dan kebimbangan ditolak ke tepi sebaik berada di dasar dan berinterasi dengan hidupan marin.

Terbuai dengan keindahan dasar laut ciptaan Yang Maha Esa menjadikan seseorang pencinta yang kemaruk untuk terus meneroka. Tidak mahu ada kerosakan kepada ciptaan asli dan sentiasa mahu menjaganya.

Faktor itu juga mendorong 150 penyelam profesional dari seluruh negara menyertai program pembersihan dasar laut anjutan Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, baru-baru ini.


SERAMAI 150 penyelam seluruh Malaysia berkumpul untuk membersihkan dasar laut.

Program itu ibarat perhimpunan besar penyelam untuk membersihkan dasar laut yang ‘kotor’ akibat perbuatan manusia yang tiada kesedaran terhadap habitat marin.

Bukan sekadar plastik, botol dan sisa buangan lain, penyelam juga mengutip landak laut kerana ia memusnahkan batu karang, selain durinya mendatangkan bahaya kepada penyelam sekiranya terpijak.

Pegawai Penyelaras Selam PPM Wilayah 3, Kuantan, Pahang, Asisten Superintendan Mohd Naser Marzuke berkata, PPM Wilayah 3 menjadi tuan rumah untuk menyelaraskan program itu dan pihaknya menerima banyak permohonan daripada kelab penyelam dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat terbabit serta.

“Kita terima lebih 300 permohonan sejak dibuka ke pengetahuan komuniti penyelam, namun hanya 150 penyelam diterima memandangkan kita tertakluk kepada kemudahan logistik dan beberapa perkara lain.

“Ini adalah acara tahunan bersempena Program Community Policing-Go Green PPM dengan masyarakat pulau. Program tiga hari dua malam ini berjalan lancar dan semua penyelam memberi kerjasama sangat baik, selain tiada kejadian tidak diingini.

“Sejumlah 50 kilogram sampah berjaya dikutip dari dasar laut dan kita tanam di Teluk Keke. Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah diundang sebagai tetamu kehormat yang merasmikan majlis dan turut serta dalam aktiviti selaman membersihkan dasar.


ZULKIFLI antara tetamu kenamaan yang turut menyelam untuk membersihkan dasar laut di Pulau Perhentian.

“Kutipan ini dari 10 lokasi dasar yang kita tentukan dengan setiap ‘point’ itu dibersihkan 10 ke 14 penyelam diketuai seorang jurulatih atau master,” katanya yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun.

Sebagai penyelam aktif, Mohd Naser berkata, aktiviti selaman di dasar laut disifatkannya sebagai aktiviti menenangkan dan membuatkan seseorang jatuh cinta kerana memberi perspektif baru apabila melihat hidupan marin.

Bagaimanapun, katanya, ketidakpekaan manusia terhadap hidupan itu memberi kesan buruk kepada hidupan laut terutama batu karang dan ikan pelbagai spesies yang mudah pupus.

“Sebab itulah program pembersihan dasar laut begini sangat penting untuk membantu memulihara khazanah laut kita,” katanya.

Seorang peserta selam skuba, Hayati Halim, 53, berkata, penyertaan penyelam wanita dalam program itu sekitar 20 orang, namun mereka memberi kerjasama sangat baik kerana berkongsi minat sama dengan penyelam lelaki.


PENYELAM meneroka dasar untuk mengutip sampah yang boleh menjejaskan hidupan marin.

Katanya, dia berpengalaman menyelam melebihi 60 selaman sejak memiliki lesen pada 2014, namun pertama kali menyertai aktiviti pembersihan dasar laut bersama PPM.

“Selalunya, saya banyak terbabit dengan aktiviti NGO dan jarang berpeluang menyertai program agensi keselamatan seperti PPM ini. Ia satu pengalaman baru apabila kita dapat berkumpul dengan komuniti penyelam yang ada antaranya bertaraf profesional.

“Bukan hanya kongsi kesedaran sama (membersihkan dasar), bahkan dapat bertukar pendapat. Ini satu program sangat baik,” katanya.


SAMPAH yang dikutip ditanam di Teluk Keke.

Teluk Keke yang menyediakan tapak perkhemahan antara yang terbesar di Pulau Perhentian menjadi lokasi pengumpulan semua penyelam sepanjang program berlangsung.

Sementara itu, upacara perasmian berlangsung di Perkampungan Nelayan membabitkan penyertaan masyarakat pulau menerusi beberapa program lain.

Ini termasuk pertandingan dikir pada sebelah malam, pembersihan kawasan pantai dan penanaman pokok di Masjid Ar-Rahman di pulau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 2:17 AM