TERIMA pensijilan halal daripada Korea Muslim Federation Halal Committee.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Hirisan daging kecil berwarna hitam yang bertekstur lembut ini menghasilkan rasa yang sangat enak setiap kali kunyahan. Dimasak bersama potongan nipis bawang merah dan cendawan enoki, sajian tradisional diraja Korea, Bulgogi ini seharusnya menjadi satu menu wajib cuba di Restoran Eid Halal Korea Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Dimiliki sepenuhnya keluarga Korea Muslim yang menyajikan menu popular dari Korea Selatan, aspek penyediaan makanan halal menjadi keutamaan mereka.

Menurut Yu Hyun Woo atau Saad Yusuf, Bulgogi adalah makanan tradisional masyarakat Korea dan disajikan pada musim perayaan, Chuseok.


SAJI makanan Korea halal.

“Disediakan secara barbeku, Bulgogi sebenarnya mempunyai dua gaya masakan sama ada berkuah (sup) atau dipanggang. Di sini, kita hanya menyediakan Bulgogi kering (dry Bulgogi).

“Menggunakan daging halal yang dihiris nipis, Bulgogi akan diperap bersama sos istimewa ‘homemade’ selama satu minggu bagi menghasilkan daging berperisa dalam setiap kunyahan. Selain itu, kita turut menyajikan sup ayam ginseng atau ‘Sam­gyetang’. Ini sajian pilihan masyarakat Korea terutama pada musim panas.


BULGOGI yang enak.

“Dimasak bersama ginseng dan herba terpilih, Samgyetang enak dijamu ketika panas. Sebenarnya menu ini memberi kesihatan kepada individu.

“Walaupun disajikan panas dan menggunakan ginseng, ia bertujuan mengeluarkan peluh dalaman yang kemudiannya membuatkan seseorang itu berasa selesa selepas menjamunya,” katanya ketika ditemui.


SAMGYETANG adalah sajian musim panas.

Saad turut menyajikan dua lagi makanan popular lain, ‘Dakgangjeong’ iaitu ayam goreng madu dan ‘Tteokbokki’ (kuih beras pedas). Bagi peminat industri hiburan Hallyu ini, dua menu popular pastinya menjadi pilihan. Dakgang­jeong selalunya dijamu pada waktu malam sebagai snek, manakala Tteokbokki pula lebih enak dimakan ketika masih panas.


DAKGANGJEONG dijamu pada waktu malam sebagai snek.

Bertanggungjawab sebagai cef utama Restoran Eid Halal Korea Bangi, Saad mengakui penghasilan pes ‘gochujang’ (sos cili merah) halal bukanlah sesuatu yang mudah demi mendapatkan rasa asli seperti di Korea Selatan.

“Selalunya untuk mendapatkan rasa asli ‘gochujang’, orang Korea menggunakan alkohol. Justeru, kita melakukan pelbagai percubaan untuk menghasilkan ‘gochujang’ halal.

“Kita menggunakan serbuk cili Korea, sos soya, garam, gula, kacang Korea yang dimasak bersama air beras selama dua jam.

“Bagi memastikan rasanya asli, bancuhan ini perlu disejukbekukan dalam peti ais selama tiga bulan berbanding dua hari sekiranya menggunakan alkohol.


TTEOKBOKKI makanan popular.

“Yang pasti, objektif utama Restoran Eid Halal Korea Bangi dibuka untuk menyajikan variasi makanan Korea halal buat masyarakat Muslim terutama di Malaysia.

“Ini adalah cawangan kedua Restoran Eid Halal Korea Bangi yang beroperasi sejak setahun yang lalu, selepas di Seoul, Korea Selatan,” jelasnya menerima pensijilan halal daripada Korea Muslim Federation Halal Committee.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 2:31 AM